TERIMA KASIH… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa simbolik penyerahan lembu kepada
Ketua Kaum sempena Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban DUN Gedong di Masjid Al Kawthar di
Gedong, kelmarin.
GEDONG: Sebanyak 30 ekor lembu diagihkan kepada masyarakat di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong sempena Aidiladha pada Ahad lalu.
Majlis simbolik penyerahan tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Masjid Al Kawthar, di Gedong dan diserahkan kepada Ketua Kaum sebagai wakil penerima.
Abang Johari dalam ucapannya berkata Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) membekalkan sebanyak 1,000 ekor lembu untuk seluruh Sarawak.
“Namun, jumlah tersebut tidak mencukupi dan ia turut ditambah dengan kambing, kita terpaksa gunakan kambing untuk menambah jumlah lembu tersebut.
“Ini menandakan ekonomi negeri kita semakin pulih di mana kita dapat membeli lembu dan diagihkan untuk golongan asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban DUN Gedong di Masjid Al Kawthar di Gedong, pada Ahad.
Tambahnya yang juga ADUN Gedong, Jabatan Veterinar Negeri Sarawak juga mengimport lembu bagi menambahkan jumlah lembu yang dibekalkan oleh SEDC dan agihan tersebut mencukupi untuk seluruh Sarawak.
Daripada jumlah keseluruhan 30 ekor lembu yang diagihkan kepada kawasan DUN Gedong, sebanyak sembilan ekor lembu disumbangkan oleh Abang Johari, Masjid Al-Kawthar (10) Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri (8), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Ikhlas (3) dan diagihkan kepada 23 buah tempat merangkumi surau, masjid, tahfiz dan kampung di kawasan Gedong.
Turut hadir Dato Sri Nancy Shukri, Residen Bahagian Samarahan Berahim Lumpu dan Pegawai Daerah Gedong Abdul Khalif Manaf.
Oleh RYNNA SHA’ERRA