PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia mula memaparkan tanda-tanda awal pemulihan sejak Jun lepas berikutan pembukaan perniagaan secara beransur-ansur mulai 4 Mei 2020 selepas terjejas teruk akibat impak Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kemuncak impak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan itu amat ketara pada April 2020 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sehingga 28.6 peratus bagi tahun ke tahun.
Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 yang menyaksikan ekonomi beroperasi pada kapasiti sebanyak 45 peratus.
Ini disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan seterusnya PKP Pemulihan pada 10 Jun hingga 31 Ogos 2020 yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.
“Bagaimanapun pada Mei 2020, (penguncupan) adalah -19.5 peratus tahun ke tahun manakala pada Jun, ia mencatat penyusutan kecil -3.2 peratus tahun ke tahun yang merupakan satu peningkatan ketara selepas perniagaan beroperasi semula.
“Secara kumulatif, KDNK suku kedua menguncup pada 17.1 peratus bagi suku kedua 2020 ketika negara ini terpaksa melaksanakan langkah penguatkuasaan yang egas bagi membendung penularan Covid-19.
“Kita menyaksikan pemulihan bentuk (lekuk) ‘V’’ bermulai Mei 2020. Sehubungan itu, Jun adalah petunjuk baik bagi membuktikan bahawa ekonomi semakin pulih,” kata Tengku Zafrul kepada Bernama dan stesen televisyen TV3.
Malah, beliau menegaskan dalam senario semasa, penilaian bulanan adalah sesuatu yang penting.
Sebagai contoh, katanya, kadar pengangguran pada Jun 2020 telah berkurangan kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.
Indeks Pengeluaran Perindustrian mencatat pemulihan pada 26.2 peratus bulan ke bulan pada Jun 2020 (-0.4 peratus tahun ke tahun berbanding Mei 2020 (-21.6 peratus tahun ke tahun).
Selain itu, jualan borong dan runcit meningkat 21.8 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya.
Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) juga pulih secara ketara daripada paras rendah tahun ini iaitu 31.3 peratus pada April kepada melebihi 50.0 pada Jun dan Julai, sekali gus menunjukkan bahawa sektor pembuatan telah melepasi penguncupan ketika tempoh PKP.
Malah, perbelanjaan pengguna turut meningkat, termasuk penjualan kereta penumpang yang menokok 6.3 peratus tahun ke tahun bagi Jun 2020.
BNM juga telah menyemak semula unjuran KDNK 2020 kepada -3.5 hingga -5.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini berikutan anggaran awal itu dibuat berdasarkan tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan selama empat minggu berbanding tujuh minggu.
Ekonomi dijangka pulih dan mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus kepada 8.0 peratus pada 2021.
Selain itu, pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) juga dijangka menyumbang lebih 3.0 peratus terhadap pertumbuhan KDNK pada 2020.
Untuk rekod, KDNK United Kingdom menguncup pada -21.7 peratus dalam suku kedua 2020 manakala Perancis juga susut -13.8 peratus pada tempoh sama.
Di peringkat serantau, Singapura mencatatkan penyusutan KDNK sebanyak 12.6 peratus manakala Filipina menguncup 16.2 peratus dan Indonesia susut pada 5.3 peratus.
Mengulas fasa pemulihan di Malaysia, Tengku Zafrul berkata, eksport pada Jun 2020 meningkat semula pada 8.8 peratus daripada -25.5 peratus pada Mei 2020.
Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata momentum pertumbuhan yang disaksikan pada Jun lepas dijangkakan terus kekal bagi tempoh berbaki dalam 2020.
“Kita berharap ekonomi itu akan terus meningkat dalam suku-suku ketiga dan keempat tahun ini,” katanya.
Menyentuh prospek 2021, Tengku Zafrul berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada paras purata 6.3 peratus manakala Bank Dunia pada 6.9 peratus. – Bernama