eFishery: Tiada tolak ansur jika wujud rasuah, penyelewengan dalam pelaburan KWAP – PM Anwar

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya siasatan mendapati wujud unsur rasuah atau penyelewengan dalam pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula teknologi akuakultur, eFishery, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun laporan awal menunjukkan tidak wujud unsur sedemikian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah menemui pengurusan KWAP dan menyatakan perlunya kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan.

“Saya telah menemui pengurusan KWAP untuk menyatakan (bahawa mereka) harus beri kerjasama sepenuhnya. Walaupun melihat pada laporan awal, saya percaya tidak ada unsur-unsur sebegitu.

“Saya ingin tekankan bahawa kita tidak boleh bertolak ansur sekiranya ada penyelewengan atau rasuah.

“Oleh sebab itu, walaupun kita berpendapat sedemikian, SPRM harus juga melihat proses pelaburan dan keputusan dibuat oleh panel pelaburan yang akhirnya dipersetujui oleh lembaga,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Anwar turut menjawab soalan tambahan Senator Wan Martina Wan Yusoff yang ingin mengetahui sama ada kerajaan telah, sedang atau akan melaksanakan transformasi bagi menentukan syarikat yang menjadi destinasi pelaburan pada masa depan serta jaminan kerajaan bahawa wang rakyat akan terus terjamin dalam setiap pelaburan.

Anwar berkata institusi kewangan dan firma bertaraf dunia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, sambil merujuk kepada Goldman Sachs yang terpalit dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 

“Ini satu pengajaran dan peringatan untuk kita,” kata Perdana Menteri. 

Khamis lepas, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pelaburan KWAP dalam eFishery merupakan satu penipuan yang dirancang.

Menurut kementerian itu, penipuan tersebut melibatkan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan.

Pada Sabtu, KWAP memaklumkan bahawa ia terus mengambil semua langkah yang ada bagi memaksimumkan pemulihan pelaburannya dalam eFishery. -Bernama