
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Ecuador menghidupkan peluang mereka dalam kempen Piala Dunia apabila jaringan kemenangan Gonzalo Plata melengkapkan kebangkitan bergaya untuk menewaskan Jerman 2-1, sekali gus mengesahkan tempat mereka ke pusingan 32 terakhir awal pagi tadi.
Leroy Sané meletakkan Jerman di hadapan secara kontroversi seawal dua minit pertama perlawanan Kumpulan E, namun Ecuador bangkit menyamakan kedudukan menerusi rembatan menarik pemain sayap Sunderland, Nilson Angulo.
Plata kemudian menjaringkan gol kemenangan dari jarak dekat pada minit ke-77, mencetuskan sorakan gemuruh penyokong Ecuador di New Jersey apabila wakil Amerika Selatan itu memastikan kemaraan sebagai salah satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik.
Jerman pula akan beraksi di Foxborough dalam pusingan 32 menentang satu lagi pasukan yang mara selaku pasukan tempat ketiga terbaik pada Isnin, dalam aksi kalah mati Piala Dunia pertama mereka sejak muncul juara pada edisi 2014.

Jurulatih Julian Nagelsmann membuat dua pertukaran susulan kecederaan apabila Antonio Rüdiger menggantikan Nico Schlotterbeck selepas pertahanan Borussia Dortmund itu disahkan terlepas baki kejohanan akibat kecederaan ligamen buku lali.
David Raum pula menggantikan Nathaniel Brown di posisi bek kiri, namun Nagelsmann tidak menyenaraikan Deniz Undav dalam kesebelasan utama meskipun penyerang itu menjaringkan dua gol sebagai pemain gantian ketika kemenangan 2-1 ke atas Ivory Coast.
Jerman, yang sudah mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan, membuka tirai jaringan dalam situasi yang mencetuskan kemarahan Ecuador, yang ketika itu masih berjuang untuk meneruskan saingan selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan pertama.
Sané menyempurnakan rembatan pertama hasil lorongan Florian Wirtz di dalam kotak penalti, namun Ecuador membantah keras apabila pengadil tidak memberikan sepakan percuma selepas Aleksandar Pavlovic mengangkat kaki terlalu tinggi sehingga terkena kepala Pedro Vite dalam gerakan tersebut.

Keputusan membenarkan gol itu mencetuskan reaksi marah pemain Ecuador, namun mereka berjaya menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian apabila Angulo melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti yang menewaskan Manuel Neuer selepas Felix Nmecha kehilangan bola di kawasan sendiri.
Kai Havertz hampir meletakkan Jerman kembali di hadapan apabila tandukannya ditepis Hernán Galíndez. Penyerang Arsenal itu turut menyangka memperoleh sepakan penalti kurang seminit selepas babak kedua bermula apabila Joel Ordóñez menjatuhkannya di dalam kotak penalti.
Namun, semakan VAR membatalkan keputusan tersebut selepas didapati Sané terlebih dahulu melakukan kekasaran ke atas Vite dalam gerakan yang membawa kepada insiden itu.
Nagelsmann kemudian memasukkan Undav pada minit ke-60 selepas penyerang itu menjaringkan tiga gol sebagai pemain gantian sepanjang kejohanan, namun Ecuador sedar mereka perlu terus memburu kemenangan.

Percubaan deras Enner Valencia berjaya ditepis oleh Neuer sebelum kekeliruan antara penjaga gol Jerman itu dan Jonathan Tah hampir membuka ruang kepada Kevin Rodríguez. Susulan hantaran lintang Moisés Caicedo, Plata bagaimanapun gagal memanfaatkan peluang apabila rembatannya tersasar.
Sané turut mensia-siakan peluang terbaik untuk mengembalikan kelebihan Jerman apabila rembatannya mudah diselamatkan Galíndez.
Ecuador akhirnya menghukum kegagalan tersebut apabila Rodríguez menanduk bola hasil sepakan penjuru sebelum Plata pantas menyambar masuk bola dari hadapan gawang Neuer untuk menamatkan rentetan 11 kemenangan berturut-turut Jerman.
Kemenangan itu bukan sahaja mengesahkan kemaraan Ecuador ke pusingan kalah mati buat kali kedua dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia, malah turut mencetuskan tangisan kegembiraan dalam kalangan penyokong mereka di stadium. — AFP