Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Dzanbun
  • WBS

Dzanbun

Utusan Sarawak 3 days ago

TUBUHNYA biru bak kebiruan yang melakari langit di siang hari. Tubuhnya keras bak batu yang tidak mampu dibengkokkan sama sekali. Matanya pula sayu bak patung yang tidak beratma.

Melihat keadaan jasadnya langsung membuntukan fikiranku. Tiada sepatah perkataan pun yang mampu keluar dari halkum bagi memecahkan kedua-dua tembok bibir mulutku ini.

Tragedi yang mengejutkan ini terus memutar ligat mindaku, ibarat roda yang tidak pernah berhenti berputar. Seribu persoalan menakluki fikiranku. Bukan kerana aku tidak pernah mengendalikan kes pembunuhan diri seperti ini tetapi sebaliknya kerana jasad di hadapanku ini, bukanlah jasad yang asing bagiku.

Sofea. Sofea merupakan sahabatku sejak sekolah rendah lagi. Dia merupakan seorang pelukis bebas yang amat mencintai seni dan menjadikan kehidupannya sebagai inspirasi karyanya.

Kewujudan Sofea dalam hidupku ibarat kurnia terindah dalam susun takdir Ilahi. Sewaktu dunia membuka kata, penuh teka dan silang makna, Sofea mendakapku dengan belaian kasih yang tidak terhingga.

Dirinya ibarat gerimis sewaktu terik mentari, menyuburkan pepohon yang ketandusan kasih. Menyaksikan jasadnya yang tidak beratma, membuat diriku ingin menghijabkan diri. Aku enggan menerima pemergian yang menggoncang keheningan sukmaku ini.

Namun begitu, mahu nafi tidak ternafi, pemergian Sofea perlu diriku hadam walaupun pahit sekali.  Kendatipun begitu, penghadaman ini bakal ku jadikan sebagai arang untuk atmaku yang bergelora dalam mencari dalang kewafatan Sofea ini.

Sebagai seorang detektif yang berpengalaman, aku dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang janggal mengenai pemergian Sofea ini. Sofea yang diriku kenali bukanlah seseorang yang akan bertindak untuk mencabut nyawanya sendiri.

Sofea seorang insan yang sering mengukirkan senyuman pada wajahnya dan orang di sekelilingnya. Matanya redup dan bersinar ibarat bulan yang menerangi langit saat diselebungi kekelaman.

Kadang-kadang diriku sering tertanya-tanya tentang bagaimana seorang manusia mampu bahagia sepertinya. Saat keheningan hidup digoncang oleh ujian Ilahi, dirinya tetap berdiri teguh bak pohon kelapa yang menempuhi ribut hujan.

Dirinya tabah dan sering mencari kesenangan dalam setiap kesukaran. Menurut perkiraanku, kisah Sofea membunuh dirinya sendiri ibarat kisah gajah terbang di angkasa. Dongeng sama sekali. Kendatipun begitu, dongeng kini menjadi realiti.

Kini, bermulalah sebuah naratif duka tentang pemergian seorang sahabat tercinta. Dengan berlumuran darah sesal di atas pentas hukuman, aku nekad menyerahkan diri  kepada Ilahi untuk memilihku sebagai penulis noktah kepada naratif ini.

Aku yakin, terlampau yakin, bahawa Sofea tidak mungkin menyerahkan nyawanya sendiri kepada Ilahi. Sesungguhnya setiap naratif memiliki naratif yang terpadam, enggan diceritakan kepada pembaca.

Maka, tanggungjawabku sebagai seorang detektif untuk menulis semula yang terpadam agar kisah sebenar dapat diceritakan di pelusuk buana. Saatku beranalog dalam pemikiranku, pandanganku langsung tertumpah pada cerbisan kertas putih yang dipercayai milik Sofea.

‘Aku tak mampu teruskan lagi, segala dosa yang ku pikul ini bakal ku persembahkan kepada Ilahi.’

Kata-kata terakhir Sofea melakarkan seribu persoalan yang merancakkan lagi perdebatan dalam jeluang fitrah. “Dosa? Dosa apa?” getus hatiku. Perasaanku berteka-teki.

Komplikasi ini mencatatkan pelbagai tanda soal dalam ruang fitrahku yang sempit tetapi akalku kini hanya dilingkari kabus yang mengaburi jawapan kepada pertanyaan tersebut.

Belum sempat aku menyusun pemikiranku yang bercelaru, pandanganku tertikam pada wajah suami Sofea, Adam. Seperti biasa, ketampanan Adam tidak pernah gagal membuat diriku tergamam walaupun dia bukanlah Nabi Yusof.

Walaupun diriku terpikat dengan ketampanan suami sahabatku itu, aku tidak akan sesekali mengerat jariku hanya semata-mata menyaksikan ketampanannya. Aku tidak akan mengeluarkan setitis pun darahku. Sesekali tidak! Getus sukmaku.

Setelah memerhatikannya beberapa saat, pandangan Adam akhirnya beralih kepadaku. Pandangan saling bertikaman. Janggalnya, walaupun dirinya telah menyaksikan jasad isterinya, air mukanya kekal tenang seakan-akan tiada ribut yang menggelorakan lautan.

“Bagaimana dia boleh kekal tenang sedangkan isterinya sudah pun menghadap Ilahi dengan dosa yang tidak terampun? Tiadakah secebis kasih atau kewalangan yang dia mampu persembahkan tatkala menyaksikan kematian isterinya itu?”

Janggal, janggal, janggal. Kejanggalannya menikam pandanganku pada wajah anaknya yang berumur 11 tahun pula, Sarah. Sarah merupakan imej pantulan Sofea.

Wajahnya memantulkan wajah Sofea yang masih terlakar di memoriku. Sarah masih muda, sangat muda sehingga mampu mewalangkan diriku tatkala mengenang nasibnya yang terpaksa menelan kepahitan kematian ratu hidupnya.

Berbeza dengan rajanya, kepiluan yang menghakis keheningan atma Sarah jelas terpantul pada air mukanya yang bergelora. Sama sepertiku, dirinya pasti ingin menghijabkan diri.

Namun, mahu nafi tidak ternafi, ratunya sudah pun pergi dan tidak akan kembali. Dirinya perlu menerima susun takdir Ilahi yang sudah semestinya memilikinya hikmah-Nya yang tersendiri.

Setelah menyiasat dan menelaah kawasan siasatan dengan teliti, mayat Sofea akhirnya dibawa pergi untuk diautopsi. Keputusan autopsi sememangnya telah membaluti diriku dengan rasa gerun yang tidak mampu ku huraikan.

“Kesan lebam? Dari manakah kesan lebam ini datang?”

Sekali lagi, fikiranku berputar ligat bak roda yang tidak pernah berhenti. Setiap putaran hanya membawaku kepada satu destinasi.

“Adam, sudah semestinya dialah jaharu dalam naratif ini”.

Masih segar dalam ingatanku, kali terakhir aku bersua dengan Sofea yakni tiga bulan yang lalu. Setiap kali ku melayarkan nama Adam, air muka Sofea kian berubah ibarat ada ribut yang menggelorakan keheningan dirinya.

Ingin sekali aku menyoal kepadanya berkenaan dirinya itu tetapi di pelusuk atmaku, aku sedar bahawa aku bukanlah muhami yang boleh menghakimi kehidupannya pada saat itu. Namun begitu, kini lain. Kini, aku mampu menyoal malaikat maut yang meramas nyawa kawanku ini.

Di hadapanku kini, duduk seorang lelaki yang ku anggap lebih iblis daripada iblis dan lebih syaitan daripada syaitan. Dirinya ibarat musang yang berbulu ayam. Setelah bertikaman pandangan, kedua-dua tembok bibirku akhirnya dipecahkan oleh persoalan yang sudah lama diriku pendam.

“Kenapa engkau memukul Sofea? Walaupun engkau suaminya, engkau tak ada hak untuk menyeksa isteri kau!”

Kesuraman bilik siasatan akhirnya dipecahkan oleh gema jeritanku. Sebagai seorang detektif yang berpengalaman, aku sedar akan kegagalanku dalam mengekalkan sifat profesionalku.

Kendatipun begitu, gelora api dendamku terhadapnya telah memakan rasionaliti di jeluang fitrahku pada saat itu.

Mendengar persoalanku, Adam tersenyum sinis dan ketawanya mula menggantikan jeritanku yang memecahkan kesuraman bilik sebentar tadi.

“Miya, setiap manusia sesungguhnya dikurniakan Ilahi dengan logika akal yang membezakan kita dengan ciptaan-Nya yang lain. Kejadian manusia itu terlalu baik dan dipuji oleh Allah SWT sehingga dijadikan-Nya sebagai khalifah di muka bumi ketika makhluk lain tidak menyanggupi.

Gunakan akalmu, adakah engkau pasti bahawa diriku ini tidak dikurniakan Ilahi dengan logika yang sama dengan hamba-Nya yang lain? Setiap penyeksaan yang diriku lakukan sudah pasti ada sebabnya.”

Jawapan Adam langsung tidak memadam gelora api dendamku terhadapnya sebaliknya api tersebut semakin bergelora sehingga rasionalitiku hangus terbakar, meninggalkan abu yang mencemarkan kesucian kesabaranku sebelum ini. Diriku yang bertakhtakan amarah langsung menghempaskan tamparan pada wajah Adam.

“Dasar lelaki dayus! Engkaulah yang membunuh Sofea!” jeritku kepadanya.

Sekali lagi, senyumannya yang sinis menggegarkan kesabaranku yang semakin menipis.

“Aku? Miya, Sofea bunuh diri bukan kerana penyeksaan aku terhadapnya sebaliknya dosa yang dirinya pikul. Saat engkau mengetahui dosanya, barulah engkau sedar siapa yang lebih iblis berbanding iblis dan lebih syaitan berbanding syaitan!” jerit Adam kepadaku sambil memaparkan wajah yang berukirkan kegilaan.

Belum sempat aku membalas kegilaannya, diriku sudah dipaksa keluar dari bilik tersebut.

“Dosa, dosa, dosa. Apakah yang dimaksudkan dengan dosa ini?” Bagai kabus di pagi hari, fikiranku tidak tercapai maksud yang ingin disampaikan oleh Adam sebentar tadi. Mahu dikata faham seperti tiada faham, mahu dikata tiada faham seperti faham. Kabus pagi telah mengaburi jawapan terhadap segala persoalan yang berdansa di jeluang fitrahku ini.

Bagi mendaratkan fahaman di lapangan fikiran, aku tekad untuk menyoal siasat Sarah yang merupakan harapan terakhirku dalam menoktahkan naratif yang penuh teka-teki ini.

Disebabkan tindakanku terhadap Adam sebelum ini, aku telah dilarang untuk menyoal siasat individu buat sementara waktu. Kendatipun begitu, aku telah menggunakan pengaruhku untuk meminta tuanku melonggarkan undang-undang bagiku menyoal siasat Sarah.

Kini, di hadapanku, duduknya Sarah yang kelihatan diselebungi ketakutan. Badannya bergetar dan matanya basah, memaparkan rasa takut yang tidak terhingga. Pelbagai soalan telah ku lontarkan kepadanya tetapi lontaranku tidak terbalas.

Meskipun begitu, lontaranku akhirnya terbalas saat aku menunjukkan kata-kata terakhir arwah ibunya kepadanya.

“Adakah Sarah tahu apakah yang dimaksudkan dengan dosa?” soalku dengan nada yang beralunkan irama lembut.

Tiba-tiba, Sarah terus memandang ke arah dinding bilik dan berpusing semula memandangku. Diriku mula hairan tetapi kehairananku mula terpadam saat pertanyaanku akhirnya terjawab dengan jawapan yang merancakkan lagi perdebatan dalam jeluang fitrahku.

“Ayah ada dua,” bisik Sarah kepadaku seakan-akan tidak mahu orang lain mengetahui tentang perkara tersebut.

Persoalan demi persoalan mula bergunung dalam pemikiranku yang rumit. Kelu lidahku untuk bertanya, terkunci rapat mulutku untuk berkata barang sepatah jua. Diriku tergamam dengan jawapan Sarah itu.

”Adakah Sofea berlaku curang terhadap Adam? Adakah disebabkan oleh itu, Adam mula menyeksanya dan akhirnya mengundang dirinya untuk membunuh diri?”  Fikiranku semakin bercelaru. Umpama benang saling kait-mengait, tambah berselirat, makin sukar dihuraikan lagi.

“Aku perlu menyiasat dengan lebih dalam, mustahil Sofea bertindak sedemikian, aku pasti.”

Kepastianku ini telah mendesak diriku untuk menemu bual setiap individu yang rapat dengan Sofea. Berdasarkan temu bualku, aku tidak mampu mengkonklusikan apa-apa mengenai kenyataan Sarah yang merumitkan fikiranku.

Sebaliknya, fikiranku semakin bercelaru apabila bukti yang ku temukan menjurus kepada Sofea sememangnya telah membunuh diri. Cap jari Sofea telah ditemukan pada setiap peralatan yang berbahaya di rumah tersebut dan yang paling menyakitkan hatiku adalah apabila tiada sebarang bukti pun yang dapat membuktikan Adam sebagai pembunuh Sofea. Perasaanku kian rumit. Amarah dan dendamku terhadap Adam kian menggunung.

“Dosa, dosa, dosa. Apakah yang dimaksudkan dengan dosa ini? Adakah dosa ini mempunyai kaitan dengan kenyataan Sarah?” Persoalan demi persoalan menggandakan kerumitan akalku. Ruang jawapanku terasa semakin kosong apabila semakin diisi.

“Ya Allah, bantulah hambamu yang hina ini” rayuku dengan harapan yang semakin berkecaian.

Walaupun begitu, siasatan masih perlu diteruskan. Kali ini, aku menemukan sebuah bukti yang sekali lagi meruntuhkan harapanku untuk mendakwa Adam sebagai pembunuh Sofea.

Pandanganku kini tertumpah pada sebuah rakaman CCTV yang menayangkan Sofea telah membeli objek dan peralatan seminggu yang lalu. Bagiku, rakaman tersebut tidaklah mengejutkanku kerana setiap barangan tersebut telah disahkan mempunyai cap jari Sofea.

Racun, pisau dan cangkul yang dibelinya tidak dapat disangkal lagi, sememangnya telah digunakan olehnya. Tetapi untuk apa? Perasaan dan akalku mula berteka-teki.

“Mengapakah Sofea membeli racun, pisau dan cangkul sedangkan dia membunuh dirinya dengan cara yang lain?” Simpulan teka-teki dalam pemikiranku kian ketat.

“Seminggu yang lalu? Bukankah Sofea ditemui tak bernyawa tiga hari yang lalu?” Simpulan teka-teki dalam pemikiranku sekali lagi bertambah ketat.

Pada saat itu, udara di sekelilingku tiba-tiba sangat berat untuk aku nafaskan. Perutku ibarat dipulas. Degupan jantungku kian kencang. Ada sesuatu yang aneh mengenai perkara ini.

Aneh, tersangatlah aneh. Susunan waktunya berserabut ibarat juntaian wayar yang berbelit.Terdapat lompang dalam susunan ini. Mengetahui perkara itu, hatiku tidak tenang.

Akalku tidak tenang. Diriku tidak tenang. Ketenangan diriku langsung digoncangkan oleh persoalan yang timbul di lautan persoalanku.

“Sofea, apakah semua ini?”

Bagi membuka simpulan teka-teki ini, aku bergegas ke rumah Sofea dengan harapan bakal menemui jawapan kepada setiap persoalanku di sana.

Tibanya aku di rumah tersebut, kelihatan Adam dan Sarah tiada di rumah. Aku pun langsung memecah masuk rumah tersebut tanpa berfikiran lama. Tibanya aku di dalam rumah tersebut, cahaya purnama telah berdansa di ruang tamu rumah itu. Angin yang bertamu lewat malam meniupkan nafasnya yang damai. Suara kilat yang berdenyar-denyar sudah terbunuh oleh kesepian malam. Diriku cuba untuk memasang lampu rumah tetapi gagal.

“Black out agaknya,” getus hatiku. Sepi, kosong dan suram. Demikianlah keadaan rumah yang dahulunya didandan dengan kebahagiaan sebuah keluarga. Sesekali lensa penglihatanku menujah pada sebuah lukisan yang terpampang di dinding ruang tamu.

 ‘The Greatest Sin’ – Sofea, 20xx

Karya Sofea sememangnya tidak pernah gagal mengagumkan diriku. Sejak bangku sekolah lagi, tangan emas Sofea sentiasa mengkaryakan kehidupannya ke dalam bentuk lukisan.

Realisme, itulah aliran Sofea. Kendatipun begitu, karya yang terpampang di hadapanku ini kelihatan berbeza dengan karya Sofea sebelum ini. Karyanya ini kelihatan diinspirasikan oleh karya Edvard Munch, The Scream.

Karya yang menayangkan ketakutan dan kegerunan yang disaksikan oleh Edvard saat kebiruan langit dibaluti kemerahan senja yang pekat, ibarat darah yang mengalir dalam tubuh manusia.

Seandainya langit dalam karya The Scream diwarnai dengan warna kemerahan senja, langit dalam karya Sofea ini pula diwarnai dengan kekelaman hitam, seakan-akan menyerupai langit malam.

Bukan itu sahaja, karyanya juga dilakari dengan kehijauan pepohon dan semak-samun yang mengisi kekosongan karya. Ironinya, pandangan individu dalam karya ini kelihatan tertumpu pada bahagian hujung karya.

Di bahagian hujung karya ini, wujudnya timbunan batu, serupa dengan timbunan batu yang ada di kawasan belakang rumah ini.

“Serupa?” diriku berbisik dengan diriku sendiri. Bulu romaku mula meremang tatkala aku memahami mesej yang ingin disampaikan oleh karya tersebut.

“Tak mungkin, semua ini tak mungkin. Semuanya hanyalah fatamorgana semata-mata,” bisik atmaku sambil menggelengkan kepala.

Demi meruntuhkan gunung persoalan yang terdapat di lapangan fikiranku, aku terus memecut ke kawasan belakang rumah. Kawasan rumah yang dulunya hanya ku limpas, kini diperhatikan dengan teliti olehku.

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa kawasan ini telah dikaryakan oleh Sofea. Belum sempat aku menyusun pemikiranku yang bercelaru, lensa penglihatanku tertumpu pada timbunan batu yang terdapat di hujung halaman.

Tanpa melengahkan waktu, aku terus menggali tanah di kawasan batu tersebut menggunakan tanganku sendiri. Setelah sekian lama, langit mula dibasahi hujan.

Kuku ku yang bersih, kini dicemari tanah basah. Bajuku yang putih berseri dibasahi kotoran tanah, hasil daripada galianku yang ganas.

Persis anjing yang menanam permainan tulangnya, diriku menggali tanah dengan ganas sekali sehinggalah pandanganku tertumpah pada sesuatu yang memecahkan akal buntuku.

“Adam?” Sosok mayat Adam yang tertanam di hadapanku ini memecahkan kedua-dua tembok bibirku. Mataku langsung membulat, tidak berkelip. Tangan kotorku menutup mulutku yang melopong seperti mulut gua yang tidak boleh ditutup.

”Ayah ada dua,” suara Sarah kian bergema dalam jeluang fitrahku. 

“Adakah ini dosamu, Sofea?” soalku sambil wajahku dibanjiri air mata yang tidak berhenti mengalir. Saat itu, aku ingin menghijabkan diri, enggan menerima kenyataan yang dipersembahkan kepadaku.

“Ya Allah, siapakah di hadapanku ini?” soalku dengan diri yang diselebungi keperitan dalam menerima kenyataan itu.

“Saat engkau mengetahui dosanya, barulah engkau sedar siapa yang lebih iblis berbanding iblis dan lebih syaitan berbanding syaitan!” jeritan Adam bergema dalam lapangan akalku yang semakin pusing.

Walaupun amat perit untuk aku nafikan, katanya itu sesungguhnya ada benarnya, Siapa sangka, sahabat yang ku ibaratkan seperti bidadari sebelum ini sebenarnya jaharu dalam naratif ini.

Di pentas hukuman yang berlumurkan darah sesalanku, Ilahi mempersembahkan watak yang bertopengkan mangsa. Watak tersebut hebat sekali, memperdayakanku yang berusaha menoktahkan naratif ini.

“Mengapa Sofea? Mengapa engkau sanggup menjarah nyawa manusia ini!” Persoalan tersebut menakluki fikiranku. Sukmaku ibarat dibelah rana yang tidak terkira, menelan kepahitan kebenaran yang disantapkan kepadaku. Meskipun begitu, pelbagai  pertanyaan  mula meluaskan kuasanya di lapang fikiranku.

“Siapakah Adam yang tertanam di hapanku ini? Bukankah Adam merupakan anak tunggal dalam keluarganya? Sekiranya benar, siapakah Adam yang diriku lihat kelmarin?”

Dengan ini, terbuktilah bahawa naratif yang terpadam belum lagi habis ku tuliskan semula. Hatta, bermulalah sebuah naratif baharu yang bakalku noktahkan.

Oleh Nur Syahmin Shamsol

Continue Reading

Previous: Sajak
Next: Mendandan Emosi, Membijaksanakan Pembaca 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.