Duo2 Festival teruskan jelajah ke Saratok, Bintulu

JELAJAH Saratok

KUCHING: Duo2 Festival akan meneruskan program jelajah ke Saratok bermula 27 hingga 31 Disember ini manakala di Bintulu bakal diadakan 31 Disember hingga 4 Januari depan.

Pengerusi Penganjur, Casner Duchavy berkata seperti jelalah sebelum ini iaitu di Kampung Beladin dan Kabong, pihaknya turut mengadakan beberapa acara menarik kepada para pengunjung yang datang di tapak pesta itu nanti.

Katanya, pelbagai aktiviti yang bakal diadakan ialah pertandingan mewarna kanak-kanak, fesyen kanak-kanak, karaoke irama 60-an dan poco-poco.

Katanya, Duo2 Festival adalah berkonsepkan hiburan selain menampilkan jualan makanan dan minuman, barangan kosmetik, pakaian  serta pelbagai aktiviti menarik untuk setiap pengunjung yang hadir.

Jelas beliau, penampilan beberapa artis yang membuat persembahan pada setiap malam turut memeriahkan lagi kehadiran pengunjung nanti.

“Selaku pihak penganjur, kami mengalu-alukan kehadiran pengunjung di tapak festival sepanjang lima hari program yang akan dilangsungkan di Saratok nanti.

‘Malah kehadiran artis-artis jemputan dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia serta tempatan yang membuat persembahan pada setiap malam bakal memeriahkan sekitar tapak festival nanti.” ujar beliau

Katanya, antara artis-artis yang bakal membuat persembahan ialah Kumpulan Screen, Kumpulan Lestari, Lucy M, Julia dan penyanyi dari Indonesia iaitu Cyntia dan Naila Sari

Sementara itu, rakan kerjasama penganjur Khusairi Johari memberitahu selepas Saratok,  program tersebut akan turut diadakan di Esplanade Bintulu pada 31 Disember hingga 4 Januari depan sempena sambutan ambang tahun baharu.

‘Kita juga akan menampilkan beberapa artis popular dari Semenanjung Malaysia dan tempatan seperti Kumpulan Screen dan Lestari di Bintulu nanti.

“Kepada warga Bintulu, jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan ambang sambutan Tahun Baharu 2025 nanti,” katanya.