Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Dunia perlukan hala tuju jelas kepimpinan, bukannya kuasa – PM Anwar
  • SEMASA

Dunia perlukan hala tuju jelas kepimpinan, bukannya kuasa – PM Anwar

Utusan Sarawak 8 hours ago
PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Forum Nikkei di sebuah hotel di Tokyo pada 10 Jun 2026. Foto AFP

TOKYO: Dunia kini menghadapi kekurangan hala tuju yang jelas dalam kepimpinan dan bukannya kuasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Berucap pada Forum Nikkei bertajuk “Navigating Strategic Uncertainty” Anwar menggesa kerjasama global yang baharu untuk menangani cabaran geopolitik yang semakin meningkat, sambil menekankan bahawa kepimpinan berkesan memerlukan hala tuju yang jelas di tengah-tengah ketidaktentuan global.

“Para pelaut zaman dahulu tidak dapat meramalkan kedatangan ribut. Mereka tidak dapat mengawal arus, dan mereka juga tidak dapat melihat apa yang berada di sebalik setiap ufuk. Apa yang mereka miliki ialah deria arah yang jelas,” kata beliau.

Beliau berkata dunia bukannya kekurangan kuasa tetapi hala tuju yang jelas, dengan institusi memerlukan reformasi serta pembaharuan dan bukannya pengabaian, kerjasama diutamakan berbanding perpecahan, dan kepimpinan memerlukan inisiatif dan bukannya meletak jawatan.

“Jika kita terus berpegang kepada prinsip-prinsip ini, saya benar-benar percaya bahawa kita boleh mengubah cabaran hari ini menjadi peluang untuk hari esok,” kata Perdana Menteri.

Ucapan Anwar itu merupakan yang pertama dalam agenda Forum Nikkei ke-31 yang bertemakan “Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia.” 

Anwar berkata ketidakpastian strategik pada masa ini berlaku secara beransur-ansur dan bukannya muncul dalam sekelip mata, justeru memerlukan penelitian yang lebih teliti terhadap puncanya memandangkan ramai pemimpin masih terikat dengan pemikiran geopolitik yang ketinggalan zaman.

Beliau berkata pemikiran berlandaskan praktikal atau secara objektif ini serta pertimbangan hegemoni terus mendorong usaha mengejar kuasa yang bertopengkan keselamatan strategik.

Perdana Menteri berkata tragedi berterusan di Gaza, ketegangan di seluruh Asia Barat dan kesan globalnya yang semakin meruncing, serta perang yang berlarutan di Ukraine, menunjukkan betapa  rapuhnya keamanan dan konsensus antarabangsa yang terbatas.

“Ini adalah isu mendesak yang memberi kesan langsung kepada struktur orde antarabangsa. Tetapi, bukan ini sahaja,” kata beliau sambil menambah persaingan kuasa besar di rantau ini, terutamanya pertikaian di Laut China Selatan, mengancam kestabilan maritim dan mencetuskan kegelisahan di Asia Tenggara.

Selain itu, Anwar turut mengetengahkan ancaman daripada program nuklear Korea Utara dan keupayaan perang konvensional dan sibernya.

Beliau berkata para pemimpin perlu mempunyai keberanian untuk menentang ketidakadilan dan memperjuangkan pendekatan yang lebih proaktif terhadap keamanan dan kemajuan, dengan menyatakan sebelum kemunculan negara-negara moden lagi masyarakat dunia Melayu dan di kepulauan Jepun telahpun belajar mengharungi perairan yang bergelora.

“Sebagai tamadun maritim, kita mula memahami kebenaran bahawa kemakmuran bukan datang dari dalam negara sendiri, tetapi kita perlu melibatkan diri dalam dunia yang lebih luas melalui perdagangan, dialog dan kerjasama,” kata beliau.

Anwar berkata negara-negara sederhana dan kecil hari ini berdepan cabaran yang sukar di tengah-tengah landskap strategik yang semakin kompleks, sambil menambah walaupun tidak semua arus geopolitik dapat dikawal atau gangguan dapat diramalkan, negara yang mempunyai kredibiliti mesti terus berpandukan kepada prinsip yang jelas untuk mengemudi laluan di hadapan.

“Kami memahami aspirasi negara membangun dan kebimbangan ekonomi maju. Kami berada pada kedudukan yang unik untuk membina jambatan penghubung yang mana pihak lain melihat perpecahan, dan membina konsensus yang mana pihak lain melihat perpecahan,” kata beliau.

Mengenai Kecerdasan Buatan (AI), Anwar mengingatkan bahawa masa depan AI tidak boleh dibentuk oleh segelintir kuasa teknologi atau syarikat swasta sahaja, sambil memberi amaran kemunculan bentuk baharu “penjajahan digital” atau dominasi teknologi.

Perdana Menteri berkata negara membangun perlu mempunyai suara yang lebih kuat dalam menggubal peraturan global dan menolak apa yang digambarkan beliau sebagai bentuk dominasi teknologi moden.

“Jawapannya terletak pada kerjasama, hubungan yang dibina untuk saling meraih manfaat bersama, kepercayaan dan institusi yang mampu menyatukan pelbagai kepentingan,” kata beliau. – Bernama

Continue Reading

Previous: NADMA selaras tindakan rentas agensi hadapi risiko El Nino, Monsun Barat Daya
Next: Sokongan Jepun penting untuk Malaysia terokai teknologi termaju – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.