PETRA JAYA, 21 Oktober: Sistem e-Sebut Harga dan e-Tender Sarawak dijangka dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan kerajaan negeri menjelang Disember ini.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kedua-dua modul itu merupakan sebahagian daripada sistem e-Perolehan Sarawak.
“Pelaksanaan sistem berkenaan bertujuan meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan perolehan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan sistem tersebut membolehkan urusan sebut harga dan tender dilaksanakan secara elektronik.
“Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkemas proses perolehan serta meningkatkan akauntabiliti dalam pentadbiran,” jelasnya.
Untuk rekod, kerajaan Sarawak telah menyediakan Portal Notis Tender Elektronik yang membolehkan kontraktor dan orang ramai menyemak notis tender daripada kementerian serta jabatan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, portal notis tender sedia ada berbeza daripada modul e-Sebut Harga dan e-Tender yang dijangka dilaksanakan menjelang Disember ini.
Oleh Masrin Affirah




