PETRA JAYA: Masalah air di kawasan Serupai, Annau dan Samarakan diharapkan diatasi melalui peruntukan bernilai RM1.72 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan utiliti dan telekomunikasi luar bandar pada Belanjawan 2025.
Iskandar Turkee (Jepak-GPS) berkata Belanjawan yang menggariskan pelan komprehensif dengan RM1.23 bilion dikhususkan untuk air dan elektrik, manakala RM0.49 bilion bagi meningkatkan capaian telekomunikasi, khususnya di kawasan luar bandar.
“Saya mohon agar isu bekalan air terawat untuk kawasan Serupai, Annau dan Samarakan disegerakan bagi memastikan rakyat merasai nikmat dari belanjawan ini.
“Dari aspek komunikasi, didapati sebahagian rakyat kawasan luar bandar berhadapan dengan masalah telekomunikasi.
“Oleh itu, pihak saya mohon agar permasalahan ini diselesaikan segera dengan penyediaan peralatan komunikasi yang terbaik untuk mereka. Impaknya digital ekonomi dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 pada sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam perbahasan yang sama, Iskandar turut memohon agar Pusat Konvensyen Jepak (JCC) dibina bagi menyokong pembangunan ekonomi setempat.
Beliau menjelaskan, dengan selesainya JambatanJepak yang dijadualkan pada tahun hadapan, Jepak dijangka mengalami lonjakan dalam sektor pelaburan dan pertumbuhan industri termasuk industri minyak, gas, serta tenaga baharu.
“Kehadiran JCC akan menarik lebih ramai pelabur antarabangsa dan mendorong Jepak menjadi pusat acara berskala besar seperti seminar dan konvensyen antarabangsa.
“Kewujudan JCC bukan sahaja membantu Sarawak mencapai impak ekonomi yang positif tetapi juga mempromosikan negeri ini di persada antarabangsa,” jelasnya.
Oleh Shahrul Qaizat