PETRA JAYA: Sarawak mencatatkan pelaburan awal sebanyak RM10.43 bilion merentasi 212 projek, secara tidak langsung mewujudkan kira-kira 5,400 pekerjaan baharu setakat suku ketiga tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaburan itu telah mengecualikan sektor utama dan sektor perkhidmatan untuk suku ketiga 2024.
”Pelaburan Langsung Domestik (DDI) yang termasuk pelaburan semula oleh pelabur asing sedia ada menggunakan pembiayaan domestik menyumbang RM7.18 bilion manakala Pelaburan Langsung Asing (FDI) menyumbang RM3.25 bilion.
”Sektor pembuatan merupakan penyumbang pelaburan terbesar pada 55.7 peratus atau RM5.81 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, diikuti oleh sektor perkhidmatan (28.5 peratus) atau RM2.97 bilion dan sektor utama (15.8 peratus) atau RM1.65 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu berkata sejak 2020, 57 peratus atau 204 daripada 356 projek yang diluluskan dalam pembuatan dan perkhidmatan berkaitan telah dilaksanakan.
Menurutnya lagi, projek pembuatan terutama dalam produk kimia (urea, melamin dan baja) menjana RM 2 bilion, produk elektrik dan elektronik (jongkong solar, wafer, sel dan modul) menjana RM 1.2 bilion manakala produk mineral bukan logam (simen dan klinker) menjana RM 0.8 bilion.
”Pindaan Ordinan Elektrik (Bab 50) pada 2023, telah mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelabur untuk terlibat dalam penjanaan kuasa rendah karbon.
”Sebagai contoh, perjanjian kajian bersama yang ditandatangani baru-baru ini antara Sarawak dan pelabur dari Abu Dhabi akan meneroka projek tenaga solar terapung di Murum.
”Projek ini akan terus mengubah landskap tenaga Sarawak ke arah lebih banyak sumber yang boleh diperbaharui, memacu kemajuan industri serta menarik pelaburan hijau dan mampan,” tambahnya.
Oleh Rynna Sha’erra