
PETRA JAYA: Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 berjalan lancar dengan penuh adat istiadat hari ini.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi kemudian berangkat tiba di Dataran Perbarisan DUN bagi menyempurnakan istiadat pembukaan tersebut.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Speaker DUN Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan dif-dif kenamaan lain.
Istiadat pembukaan dimulakan dengan perarakan masuk panji-panji Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Malaysia dan kawalan kehormat utama (KKU) dengan kekuatan seramai 105 anggota diketuai oleh DSP Amirol Mahathir Mohamad Khoiri.
Panji-panji tersebut merupakan lambang kemegahan, taat setia dan penghormatan tertinggi yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada batalion-batalion PGA di seluruh negara.
Istiadat diikuti dengan bacaan doa yang diimamkan oleh Timbalan Imam Besar negeri Al-Fadhil Ustaz Mohammad Ihsan Haidzir diikuti kumpulan brass RMP memainkan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dan juga ‘Ibu Pertiwiku’.


Persidangan kemudian diteruskan di Dewan Mesyuarat DUN Sarawak dengan kemasukan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak serta dif-dif kenamaan.
Tun Wan Junaidi kemudian berangkat masuk ke Dewan Mesyuarat sebelum Premier Sarawak menyerahkan teks ucapan kepada beliau.
Tun Wan Junaidi seterusnya menyampaikan ucapan pembukaan Penggal Kelima Persidangan DUN Ke-19 sebelum Speaker DUN mengisytiharkan mesyuarat ditangguhkan selepas istiadat selesai.
Sementara itu, sidang DUN yang bermula hari ini hingga 20 Mei itu menyaksikan empat Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan akan dibentangkan.

RUU tersebut ialah Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2025), 2026; Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2026), 2026; Rang Undang-Undang Lembaga Padi dan Beras Sarawak, 2026 dan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan), 2026.
Daripada keempat-empat RUU itu, RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak, 2026 merupakan RUU baharu yang akan dibentangkan pada persidangan DUN kali ini.
Oleh Masrin Affirah