Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: RUU Lembaga Padi dan Beras mampu bantu kestabilan harga beras pada masa depan
  • SEMASA

DUN: RUU Lembaga Padi dan Beras mampu bantu kestabilan harga beras pada masa depan

Utusan Sarawak 4 hours ago
 MENTERI Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada sidang media selepas Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak menerusi Rang Undang-Undang (RUU) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini dilihat mampu membantu mewujudkan kestabilan harga beras pada masa depan apabila pengeluaran dan bekalan tempatan diperkukuhkan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, usaha meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan memperkukuh keseluruhan rantaian industri padi negeri merupakan langkah penting sebelum kawalan harga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, apabila Sarawak mempunyai bekalan beras mencukupi dan mampu mengurus rantaian hiliran sendiri, negeri ini akan berada pada kedudukan lebih baik untuk membantu menstabilkan harga beras.

“Apabila kita mempunyai bekalan mencukupi dan mampu mengurus keseluruhan rantaian hiliran, ketika itu kita boleh bercakap mengenai aspek harga.

“Sekarang fokus utama kita ialah memperkukuh pengeluaran dan memastikan bekalan makanan negeri lebih terjamin,” katanya pada sidang media selepas RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 diluluskan di DUN Sarawak, hari ini.

Beliau berkata kawal selia harga beras ketika ini masih berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan kementerian berkaitan.

Dalam pada itu, Stephen Rundi berkata Sarawak ketika ini hanya mempunyai stok simpanan beras yang mampu bertahan sekitar dua hingga tiga bulan sahaja berbanding Semenanjung Malaysia sekitar lima hingga enam bulan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Sarawak perlu mempercepat pembangunan industri padi tempatan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan akibat konflik geopolitik, masalah logistik dan ketidaktentuan rantaian bekalan global.

Menurut beliau, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan penanaman padi berskala besar bagi mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030.

“Daripada sasaran pembangunan 14,000 hektar kawasan penanaman padi, kira-kira 6,000 hektar melibatkan tanah kerajaan yang boleh dibangunkan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata pendekatan Sawah Berskala Besar (SBB) akan menjadi hala tuju utama pembangunan industri padi Sarawak kerana ia membolehkan penggunaan mekanisasi, automasi dan sistem pengairan yang lebih efisien.

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan segera termasuk Tanjung Purun, Batang Lupar dan Tanjung Bijat.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Lebih 500 varieti padi Sarawak perlu dilindungi, diangkat jadi produk premium
Next: DUN: SEDC diperkasa selaras aspirasi ekonomi baharu Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.