DUN: RM13.1 juta perluas bekalan elektrik luar bandar di Ngemah

Facebook
WhatsApp
DATUK Ibrahim Baki ketika menjawab soalan Anyi Jana (GPS-Ngemah) ketika sidang DUN Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA, 14 Oktober: Sebanyak RM13.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Ngemah.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki berkata, sebanyak 49 rumah panjang yang melibatkan 751 isi rumah telah menerima bekalan elektrik menerusi projek itu sejak 2020.

“Sebanyak 49 rumah panjang yang melibatkan 751 isi rumah telah menerima bekalan elektrik di bawah Projek Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles sejak 2020,” katanya.

INFOGRAFIK menunjukkan peruntukan RM13.1 juta bagi Projek Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles di DUN Ngemah, yang telah memberi manfaat kepada 751 isi rumah di 49 rumah panjang sejak 2020, manakala lima lagi rumah panjang dijangka menerima bekalan elektrik secara berperingkat mulai suku pertama 2027.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anyi Jana (GPS-Ngemah) ketika sidang DUN Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Menurut Ibrahim, lima lagi rumah panjang yang melibatkan 82 isi rumah masih dalam pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat mulai suku pertama 2027.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan berdepan beberapa cabaran, termasuk mendapatkan kebenaran laluan bagi pemasangan infrastruktur elektrik, keadaan bentuk muka bumi yang mencabar serta kesukaran akses ke tapak projek.

“Antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek penyambungan bekalan elektrik di DUN Ngemah ialah mendapatkan kebenaran izin lalu, keadaan topografi yang mencabar serta kesukaran akses ke tapak projek,” ujarnya.

Oleh Adele Rissa