DUN: Projek jalan raya bernilai RM784.25 juta di Katibas perlu dipantau

Facebook
WhatsApp
LIDAM Assan (GPS-Katibas) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN, hari ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA, 15 Oktober: Pelaksanaan projek jalan raya bernilai RM784.25 juta di kawasan Katibas perlu dipantau bagi memastikan jaringan perhubungan yang dibangunkan dapat meningkatkan akses penduduk serta membuka peluang ekonomi di kawasan pedalaman.

Lidam Assan (GPS- Katibas) berkata enam projek jalan raya yang sedang dilaksanakan di kawasan itu mempunyai nilai keseluruhan kira-kira RM383.25 juta, manakala dua lagi projek yang diluluskan untuk pelaksanaan bernilai RM401 juta.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah Jalan Nanga Kabah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Beguang ke Sungai Song Fasa 1, jalan dari Rumah Jabat ke Rumah Assan di Nanga Engkuah Fasa 1 serta jalan dari Nanga Bangkit ke Ulu Bangkit Fasa 1.

Dua projek yang diluluskan untuk pelaksanaan pula merangkumi jalan akses dari Nanga Tekalit ke SK Nansang, termasuk Jambatan Sungai Katibas di Nanga Tekalit, serta jalan utama dari Nanga Serau ke Nanga Seranau Fasa 2.

“Keberkesanan pembangunan jalan raya tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan atau panjang jalan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira manfaatnya kepada penduduk, termasuk kemudahan pergerakan dan peluang ekonomi baharu”, katanya.

Beliau turut meminta supaya projek jalan yang masih dalam perancangan bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) terus diberikan perhatian, dengan enam cadangan projek dianggarkan bernilai RM780.5 juta.

Oleh Shikin Mahmud