

PETRA JAYA: Kemudahan kesihatan, keselamatan awam dan pentadbiran di Engkilili perlu dipertingkat segera bagi memastikan penduduk luar bandar menerima perkhidmatan yang lebih cekap dan selesa.
Johnical Rayong (GPS-Engkilili) berkata, Klinik Kesihatan Engkilili yang masih bertaraf Jenis 3 kini berdepan kekurangan doktor dan jururawat selain tidak lagi mampu menampung keperluan penduduk setempat.
Menurut beliau, penduduk di kawasan Ulu Engkilili dan Ulu Skrang mengambil masa sehingga dua jam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.
“Saya memohon agar Klinik Kesihatan Engkilili dinaik taraf dan ditambah kakitangan perubatan terutama doktor.
“Perkhidmatan kesihatan bergerak juga perlu diperkukuh dan diperluaskan khususnya untuk rumah panjang yang jauh serta tidak mempunyai akses jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri sempena Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, di sini, hari ini.
Beliau turut memohon agar Klinik Kesihatan Skim Skrang dinaik taraf dan diperbesarkan memandangkan keadaan bangunan yang sudah usang selain tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit.
Katanya, klinik berkenaan amat strategik kerana menjadi pusat rujukan utama penduduk sekitar serta dikelilingi banyak kampung dan rumah panjang di kawasan Skrang.
Dalam pada itu, Johnical turut membangkitkan isu pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Engkilili yang masih belum dilaksanakan walaupun peruntukan telah diluluskan sebelum ini.
“Saya memohon agar balai bomba tersebut dibina secepat mungkin kerana ia melibatkan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat,” katanya.
Beliau pada masa sama meminta kerajaan memberi perhatian terhadap kekosongan jawatan Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Kecil Engkilili selepas pegawai sebelum ini bersara hampir dua tahun lalu.
Menurutnya, ketiadaan pegawai tadbir menyebabkan penduduk terpaksa berurusan di Pejabat Daerah Lubok Antu bagi urusan pentadbiran.
“Saya mohon kerajaan segera menghantar Pegawai Tadbir baharu ke Engkilili serta menyegerakan pembinaan bangunan baharu Pejabat Daerah Kecil Engkilili kerana bangunan sedia ada sudah tidak lagi selesa dan tidak mampu menampung keperluan penduduk,” katanya.
Oleh Norman B