

PETRA JAYA: Pemilik tanah adat di seluruh Sarawak digalakkan mengemukakan permohonan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) untuk membangunkan tanah mereka menerusi projek pertanian secara berkelompok.
Menurut Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, SLDB bersedia memproses permohonan lengkap sebelum dikemukakan kepada kementerian berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini SLDB belum menerima permohonan lengkap daripada kawasan DUN Meluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rolland Duat Jubin (GPS-Meluan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.
Beliau mengulas lanjut, sehingga kini sebanyak 1,247.02 hektar tanah adat Bumiputera di Sarawak telah dibangunkan menerusi projek tanaman kelapa sawit, getah dan kopi melibatkan 600 peserta.
“Projek tanaman kelapa sawit dilaksanakan di Pedanum, Pakan melibatkan kawasan seluas 437.22 hektar dengan penyertaan 125 peserta.
“Selain itu, projek tanaman getah di Sri Aman, Pakan, Kapit dan Lubok Antu melibatkan kawasan seluas 577.2 hektar dengan 295 peserta, manakala projek tanaman kopi di Simunjan, Samarahan dan Sri Aman melibatkan 232.6 hektar serta 180 peserta,” jelasnya.
Tambah beliau, peserta projek kelapa sawit menerima bayaran sewa RM1,440 setahun bagi setiap hektar tanah, manakala projek getah dan kopi akan diserahkan semula kepada pemilik selepas tempoh pembangunan apabila tanaman mula mengeluarkan hasil.
“Penduduk setempat turut mendapat peluang pekerjaan di kawasan estet mini selain menikmati kemudahan asas seperti jalan dan jambatan yang dibina,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiga projek pembangunan tanah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dilaksanakan SLDB melibatkan peruntukan keseluruhan RM29.7 juta.
Oleh Masrin Affirah