Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Lebih 98,000 rakyat Sarawak terima manfaat program digital komuniti
  • TEMPATAN

DUN: Lebih 98,000 rakyat Sarawak terima manfaat program digital komuniti

Utusan Sarawak 5 hours ago
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Lebih 98,000 rakyat Sarawak menerima manfaat daripada pelbagai program pembangunan digital komuniti yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2020 bagi memperkasa ekonomi digital dan mengurangkan jurang teknologi antara bandar dan luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sebanyak 4,293 program berasaskan digital telah dilaksanakan menerusi 58 Pusat Komuniti Digital (DCC) di seluruh Sarawak.

Menurutnya, program tersebut melibatkan latihan perniagaan dalam talian, kemahiran pemasaran digital, penjenamaan produk, penghasilan kandungan digital dan keselamatan siber.

“Program-program ini memberi manfaat kepada 98,331 peserta tempatan termasuk komuniti luar bandar, usahawan kecil dan golongan belia.

“Ia selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 untuk memastikan rakyat tidak tercicir dalam arus pendigitalan,” katanya ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Program Juara Digital Sarawak tahun ini menerusi kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam perniagaan.

Menurutnya, kerjasama dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan juga akan terus diperkukuh bagi memperluas kesedaran serta literasi digital terutama di kawasan luar bandar.

“Kita mahu mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar. Pembangunan digital tidak boleh hanya tertumpu di bandar besar kerana rakyat di luar bandar juga perlu mendapat peluang sama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim berkata kementeriannya turut meneruskan program pelesenan anjing percuma selama tiga tahun di seluruh Sarawak sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesihatan awam dan kawalan rabies.

Beliau berkata, pengecualian bayaran itu melibatkan permohonan baharu dan pembaharuan lesen bagi menggalakkan lebih ramai pemilik haiwan mematuhi syarat pelesenan.

“Kita mahu memastikan pemilikan haiwan peliharaan lebih bertanggungjawab selain membantu mengawal penyakit berkaitan haiwan.

“Program vaksinasi, mikrocip dan pelesenan akan terus diperkasa di seluruh Sarawak,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri juga terus memperkukuh agenda pembangunan mampan termasuk penggunaan lampu jalan LED bagi semua projek lampu jalan baharu di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula tahun ini.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan aspirasi Sarawak sebagai negeri rendah karbon serta mampan.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: DUN: Keterjaminan makanan diperkasa, Sarawak guna model DBOT tarik pelaburan swasta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.