PETRA JAYA, 15 Oktober: Lebih 6,000 penduduk di tiga Skim Penempatan Semula (SPS) RASCOM di Ngemah masih menantikan penyelesaian isu hak milik tanah tapak rumah panjang mereka yang kekal berstatus tanah Kerajaan selepas lebih lima dekad penubuhan penempatan berkenaan.

Anyi Jana (GPS-Ngemah) berkata, tuntutan itu melibatkan lebih 60 rumah panjang di SPS Nanga Jagau, SPS Nanga Ngungun dan SPS Nanga Tada yang memerlukan perhatian kerajaan Sarawak.
“Penduduk di tiga SPS tersebut yang terdiri daripada lebih 60 rumah panjang (lebih 6,000 penduduk) mahukan agar kerajaan Sarawak dapat memberikan surat hak milik bagi tapak rumah panjang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, di sini.
SPS RASCOM ditubuhkan pada 1972 bagi mengekang ancaman komunis serta menjaga keselamatan penduduk melalui penempatan semula masyarakat ketika itu.
Selain isu pemilikan tanah, Anyi turut membangkitkan keperluan memperkukuh kemudahan asas di kawasan berkenaan, termasuk menaik taraf Klinik Kesihatan Nanga Ngungun dengan penempatan pegawai perubatan dan penyediaan perkhidmatan ambulans.
Beliau berkata, projek rintis klinik berkenaan telah siap, namun proses penyediaan dokumen oleh Jabatan Kerja Raya untuk penyerahan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) masih berjalan.
Dalam aspek pendidikan, beliau mencadangkan pemindahan tiga sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan Nanga Jagau, Sekolah Kebangsaan Nanga Nirok dan Sekolah Kebangsaan Nanga Balingiau, ke tapak baharu yang lebih sesuai berikutan masalah banjir berulang ketika hujan lebat.
Beliau turut menggesa supaya projek jalan raya luar bandar dipercepat, selain mencadangkan pembangunan sebuah pusat kemahiran di tapak lama Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Rahman Yakub yang kini kosong dan terbiar bagi memperluas akses latihan kemahiran di Daerah Kanowit.
Oleh Adele Rissa



