Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Krisis global bukan penghalang pelancongan Sarawak naik 4.5 peratus iaitu 1.24 juta pelawat awal tahun
  • TEMPATAN

DUN: Krisis global bukan penghalang pelancongan Sarawak naik 4.5 peratus iaitu 1.24 juta pelawat awal tahun

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Foto UKAS

PETRA JAYA: Ketibaan pelancong ke Sarawak terus mencatat pertumbuhan positif apabila negeri ini merekodkan peningkatan 4.5 peratus dengan menerima 1.24 juta pelawat pada suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, prestasi itu membuktikan industri pelancongan Sarawak kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global termasuk konflik di Asia Barat.

Menurut beliau, Sarawak merekodkan keseluruhan 4.97 juta ketibaan pelawat sepanjang 2025, meningkat 2.89 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Brunei dan Indonesia kekal menjadi pasaran utama pelancongan Sarawak apabila kedua-dua negara menyumbang 48 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelawat.

“Asia pula terus menjadi penyumbang terbesar dengan 52.6 peratus daripada keseluruhan ketibaan direkodkan dari rantau itu termasuk 48.8 peratus dari negara ASEAN, manakala pelancongan domestik menyumbang 45 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Tambah beliau, trend pelancongan domestik turut menunjukkan peningkatan apabila ketibaan pelawat dari Semenanjung Malaysia dan Sabah meningkat daripada 1.9 juta orang pada 2024 kepada 2.17 juta pelancong pada 2025.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata Sarawak menjana RM12.67 bilion hasil pelancongan pada 2025, meningkat 1.75 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, Sarawak merekodkan RM3.15 bilion hasil pelancongan.

“Kerajaan Sarawak kini menyasarkan lima juta pelawat pada 2026 dengan anggaran hasil pelancongan sebanyak RM12.73 bilion,” jelasnya.

INFOGRAFIK

Bagi memastikan industri pelancongan terus berkembang dan berdaya tahan, beliau berkata Sarawak memberi fokus kepada beberapa hala tuju pembangunan strategik termasuk memperkukuh pelancongan domestik menerusi kempen ‘Sia Sitok Sarawak 5.0’.

“Sarawak turut memperluas promosi pelancongan ke pasaran ASEAN serta China, Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan India menerusi kempen Gateway to Borneo.

“Negeri ini juga terus mempelbagaikan produk pelancongan termasuk pelancongan kesihatan, edu-pelancongan, industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), ekopelancongan serta pelancongan budaya dan warisan bagi menarik pelawat premium dan berbelanja tinggi,” tambahnya.

Beliau berkata, Sarawak merekodkan lebih 104,000 pelancong perubatan pada 2025, meningkat 26.16 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan Indonesia kekal menjadi pasaran utama.

Dalam sektor edu-pelancongan pula, jumlah pelajar luar Sarawak di institusi pengajian tinggi tempatan meningkat daripada 2,183 orang pada 2024 kepada 2,295 orang pada 2025.

Beliau mengulas lanjut, Sarawak turut memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi acara hiburan, sukan, gastronomi dan MICE bertaraf antarabangsa dengan memberi penekanan kepada impak jangka panjang kepada komuniti setempat.

“Pasaran Oceania khususnya Australia dan New Zealand semakin penting apabila lebih 6,000 pelawat direkodkan dari rantau itu antara Januari hingga Mac tahun ini.

“Hubungan sejarah menerusi peristiwa seperti Operation Semut semasa Perang Dunia Kedua turut dimanfaatkan bagi menarik pelancong berasaskan warisan dan sejarah,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: Sarawak anjur APGH 2026, perkukuh peranan dalam pembangunan hidrogen hijau Asia Pasifik
Next: Stadium Negeri kini dinamakan Stadium Taha Ariffin

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.