PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak dimohon untuk menyiasat dan membantu menangani masalah yang menimpa nasib rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.
Ia berkaitan isu hasil tanaman Ladang Kelapa Sawit Felcra Berhad Batang Lupar di Kampung Lingga yang telah mengalami kerugian hampir setiap tahun sejak tahun pertama penubuhannya bermula 2008 hingga ke hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, penduduk di situ perlu dibantu memandangkan tanaman tersebut merupakan periuk nasi mereka untuk menyara kehidupan seharian dari satu generasi ke generasi seterusnya.
“Mengikut statistik dan penyata laporan perolehan Ladang Sawit Felcra Berhad Batang Lupar di Kampung Lingga bagi unjuran 2013 hingga April, 2022, 122 peserta/waris Ladang Sawit Kampung Lingga hanya pernah menerima dividen keuntungan sebanyak tiga kali sahaja iaitu pada 2016, 2019 dan juga 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 di sidang DUN hari ini.
Dayang Noorazah berkata kerugian yang berterusan itu menyebabkan kesemua peserta/waris tidak berpuas hati sehinggakan 95 peserta/waris berhasrat untuk menjual lot ladang kelapa sawit tersebut seluas 470 hektar kepada Felcra atau pihak swasta agar hutang kos operasi ladang kelapa sawit Felcra tersebut dapat dilangsaikan.
“Ini adalah kerana, merujuk kepada surat perjanjian antara Felcra Berhad dan peserta pada tahun 2010, Fasal 18 iaitu setelah peserta menjelaskan semua wang yang perlu dibayar mengikut perjanjian ini, pengurusan tanah tersebut akan diserahkan kembali kepada peserta tertakluk kepada persetujuan kedua belah pihak.
“Bermaksud, lot tanah tersebut tidak dapat diserah/dituntut oleh peserta/waris sekiranya hutang kos operasi ladang sawit masih tidak dapat dilangsaikan kepada Felcra Berhad,” katanya.
Justeru, beliau mohon pihak kerajaan Sarawak untuk menyiasat dan membantu menangani masalah tersebut agar nasib rakyat di DUN Lingga tidak terabai kerana itulah periuk nasi mereka.
Oleh NUR AIN OTSMAN