PETRA JAYA: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari pertama berakhir dengan ketegangan antara Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, dan Chong Chieng Jen (Padungan-DAP) berhubung isu pertukaran tong gas petroleum cecair (LPG).
Isu pertukaran tong gas kuning kepada tong gas merah yang melibatkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), menjadi topik hangat ketika Julaihi menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-Undang (Pindaan) Pengagihan Gas 2024.
Dalam menjawab dakwaan Chong mengenai kesulitan yang dihadapi pengguna, Julaihi menegaskan bahawa tiada masalah besar yang berlaku setakat ini berkenaan pertukaran tong gas.
“Jika ada kes terpencil, saya harap masalah tong kuning yang anda (Chong) sebutkan bukanlah rekaan atau ciptaan dari pihak anda atau orang anda sendiri,”
“Ini hanya kes terpencil, dan tiada pengedar yang seharusnya menolak untuk menerima tong kuning. Jika ada yang menolak, laporkan kepada Petronas atau PetrosNiaga. Anda (Chong) boleh melawat kawasan penyimpanan tong kuning yang ada sekarang.”katanya.
Chong cuba untuk mencelah, namun Julaihi memberi amaran agar beliau tidak mengganggu penggulungan yang sedang berlangsung.
“Biar saya habiskan penggulungan saya. Anda boleh berdebat selepas ini atau selepas saya selesai, saya akan beri ruang untuk anda. Duduklah, ini adalah giliran saya,” tegas Julaihi.
Dalam perkembangan berkaitan,Chieng Jin Ek (Bukit Assek-GPS), berkata bahawa di kawasan Sibu, perkhidmatan pertukaran tong gas kuning ke tong merah Petros masih berjalan lancar.
Beliau membidas dakwaan Chong yang mengatakan peniaga gas Petros di Sibu enggan menukar tong gas, dengan menyatakan bahawa perkara itu tidak benar sama sekali.
“Peniaga Petros masih bersedia untuk melakukan pertukaran tong gas. Malah, pertukaran terakhir telah dilakukan pada 7 November dengan melibatkan seramai 472 orang,” kata Chieng dalam sidang media.
Chieng menambah, bahawa proses pertukaran juga mudah dengan penghantaran terus ke rumah pelanggan, meskipun dengan caj tertentu.
Sementara itu, Chong dalam perbahasannya mengenai Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2024, menuduh Petros tidak lagi menerima pertukaran tong gas kuning dan mendakwa pengguna terpaksa menyimpan tong Shell atau Mygaz mereka di rumah kerana peniaga tidak mahu menerima pertukaran tersebut.
Katanya, mereka terpaksa menyimpan tong kuning Shell atau tong Mygaz di rumah masing-masing kerana peniaga tidak mahu menerima pertukaran ini.
“Petros diberikan hak untuk menjadi aggregator gas tunggal di negeri ini, memberikan mereka untung yang banyak. Jadi, jangan tambah beban kepada rakyat,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT