

PETRA JAYA: Elaun bulanan ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) akan digandakan daripada RM500 kepada RM1,000 mulai 2026, manakala Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) pula menerima kenaikan gaji dan elaun bulanan sebanyak RM400 sebulan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, semakan itu dibuat sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting pemimpin adat dan masyarakat dalam memastikan kestabilan serta keharmonian komuniti di negeri ini terus terpelihara.
Menurut beliau, semakan elaun ahli MAIS itu merupakan yang pertama sejak kali terakhir dilaksanakan pada 2013.
“Selain elaun bulanan, ahli MAIS turut menerima elaun mesyuarat sebanyak RM100 bagi setiap mesyuarat dengan kadar maksimum RM400 setahun.
“Mereka juga akan menikmati kemudahan perubatan setara skim pemimpin masyarakat sedia ada selain kemudahan pakaian rasmi seperti lounge suit dan baju korporat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, John Sikie berkata kerajaan negeri terus mengiktiraf KMKK sebagai tonggak pentadbiran akar umbi yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat.
Katanya, kenaikan gaji dan elaun bulanan sebanyak RM400 kepada KMKK akan berkuat kuasa Januari 2026.
Pada masa sama, beliau berkata dasar sedia ada berkaitan pentadbiran rumah panjang melebihi 60 pintu akan terus dikekalkan.
“Sebanyak 7,879 naskhah Buku Panduan Ketua Kaum telah diedarkan kepada KMKK dan agensi berkaitan bagi membantu melicinkan urusan pentadbiran di peringkat komuniti.
“Kerajaan juga sedang melaksanakan transformasi pendigitalan sistem pengurusan KMKK bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan,” tambahnya.
Beliau berkata pelbagai latihan, kursus dan bengkel akan terus diadakan bagi memperkasa kepimpinan KMKK serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh Sarawak.
Menyentuh mengenai pewujudan jawatan baharu KMKK, beliau memaklumkan sebanyak 1,057 permohonan telah diterima dari seluruh Sarawak dan kini sedang diteliti kerajaan negeri.
Oleh Adele Rissa