SELANGAU: Cadangan mewujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Arip perlu diberi pertimbangan serius dalam persempadanan semula Sarawak bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati perwakilan yang lebih adil serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih berkesan.
Penolong Setiausaha I Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB Negeri Sarawak, Murphy Nyegang berkata, cadangan itu berasaskan faktor geografi, demografi dan pentadbiran yang jelas serta mampu memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar.
Menurutnya, Parlimen Selangau mempunyai kira-kira 49,265 pengundi berdaftar meliputi kawasan seluas 9,193 kilometer persegi, manakala DUN Kakus sahaja mempunyai kira-kira 23,955 pengundi dengan keluasan sekitar 5,701 kilometer persegi.
Beliau berkata, cabaran utama bukan sekadar jumlah pengundi, sebaliknya taburan penduduk yang tinggal berselerak di ratusan rumah panjang dan penempatan luar bandar yang jauh dari pusat pentadbiran.

“Keadaan muka bumi yang mencabar, jarak perjalanan yang jauh serta akses yang terhad menyukarkan wakil rakyat dan agensi kerajaan menyampaikan perkhidmatan secara berkesan kepada setiap komuniti,” jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.
Murphy yang juga Setiausaha PBB Cawangan N.60 Kakus berkata, DUN Bukit Arip yang dicadangkan akan merangkumi daerah mengundi Lemai, Bawan, Arip, Annau dan Tatau-Buan, melibatkan kira-kira 261 rumah panjang serta dua kampung.
Menurutnya, cadangan itu membuktikan Bukit Arip mempunyai jumlah pengundi yang mencukupi untuk membentuk sebuah kawasan pilihan raya yang berdaya maju tanpa menjejaskan kedudukan DUN Tamin dan Kakus.
Beliau berkata, Bukit Arip juga berada di lokasi strategik di antara DUN Tamin dan Kakus serta telah mempunyai pelbagai kemudahan asas seperti Klinik Desa Sungai Arip, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip dan beberapa projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Tambahnya, penubuhan DUN Bukit Arip akan membolehkan rakyat mendapat perwakilan yang lebih dekat, meningkatkan penyelarasan antara agensi kerajaan, mempercepatkan penyelesaian isu infrastruktur dan kebajikan serta memastikan program pembangunan dapat dirancang dengan lebih berkesan mengikut keperluan setempat.
Beliau berkata, susulan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99, keutamaan sewajarnya diberikan kepada kawasan yang mempunyai keluasan geografi yang besar, akses luar bandar yang mencabar serta taburan penempatan yang luas sehingga mewujudkan jurang perwakilan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan Sarawak dan semua pihak berkaitan agar mempertimbangkan cadangan penubuhan DUN Bukit Arip demi memastikan perwakilan yang lebih adil, pentadbiran yang lebih berkesan serta pembangunan yang lebih seimbang untuk rakyat di kawasan Selangau.
Oleh Akun Giman




