
PETRA JAYA: Sebanyak 139 kematian direkodkan membabitkan kemalangan jalan raya di Sarawak dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sebanyak 7,545 kemalangan direkodkan di seluruh negeri setakat April lalu dengan majoritinya melibatkan kenderaan persendirian.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 128 merupakan kemalangan maut, manakala 45 kes membabitkan kecederaan serius dan 90 lagi melibatkan kecederaan ringan.
“Sebanyak 58,992 saman trafik utama turut dikeluarkan antara Januari hingga April tahun ini dengan kesalahan memandu laju merekodkan jumlah tertinggi iaitu 57,842 saman,” katanya ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Katanya, kesalahan lain termasuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu, melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar dan memotong barisan.
Sehubungan dengan itu, katanya kementerian bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak terus mempergiat kempen keselamatan jalan raya terutama menjelang sambutan Hari Gawai.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri turut memperkukuh sistem pengurusan trafik menerusi pelaksanaan lampu isyarat pintar di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, sebanyak 190 daripada 373 persimpangan lampu isyarat di Sarawak telah dinaik taraf kepada sistem pintar setakat April lalu.
“Kuching merekodkan jumlah tertinggi dengan 98 persimpangan diikuti Miri sebanyak 30, Bintulu 24 dan Sibu 13,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan jumlah kenderaan di Sarawak yang kini melebihi dua juta unit menjadikan pengurusan trafik lebih kritikal khususnya ketika waktu puncak dan musim perayaan.
Beliau turut berkata penguatkuasaan penggunaan Peranti Had Kelajuan (SLD) bagi kenderaan komersial kini memasuki Fasa 2 sebelum pemasangan wajib sepenuhnya bermula Julai ini.
Oleh Shahrul Qaizat