Dua warga asing direman, disyaki ambil spesimen tumbuhan dari Taman Negara Santubong

Facebook
WhatsApp
PENEMUAN empat beg plastik berisi spesimen tumbuhan yang disyaki diambil tanpa kebenaran dari kawasan Taman Negara Santubong. Foto: Sarawak Forestry Corporation

KUCHING: Dua warga asing dari China dan Taiwan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan empat beg plastik berisi spesimen tumbuhan yang disyaki diambil tanpa kebenaran dari kawasan Taman Negara Santubong.

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam kenyataan media memaklumkan, kes itu dikesan pada Khamis lalu sekitar 1.50 petang ketika kedua-dua individu terbabit berada di kaunter pendaftaran taman untuk mendaftar keluar selepas menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan.

Menurut SFC, renjer Taman Negara Santubong bertindak menjalankan pemeriksaan terhadap barangan yang dibawa kedua-dua individu selepas mengesan keadaan yang menimbulkan syak bahawa mereka mungkin telah mengambil dan mengumpul spesimen tumbuhan dari dalam kawasan taman negara.

Hasil pemeriksaan menemukan empat beg plastik lut sinar yang mengandungi spesimen tumbuhan yang disyaki diambil dari kawasan Taman Negara Santubong.

Dua beg galas serta beberapa barangan lain turut dirampas bagi membantu siasatan.

Kesemua spesimen berkenaan telah direkodkan dan disimpan sebagai barang kes sebelum menjalani proses pengenalpastian serta pemeriksaan lanjut bagi menentukan jenis dan status spesies yang terlibat.

SFC memaklumkan kedua-dua individu kini direman selama tiga hari bermula semalam sehingga 7 September bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, SFC bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan proses siasatan dan tindakan selanjutnya.

Siasatan turut mengambil kira peruntukan di bawah National Parks & Nature Reserves Ordinance, 1998 [Cap. 27], yang melarang pengambilan atau pengeluaran tumbuhan dari kawasan taman negara tanpa kebenaran Kontroller Taman Negara dan Rizab Semulajadi.

Mengikut Seksyen 26 Ordinan berkenaan, seseorang tanpa kebenaran Kontroller SFC tidak dibenarkan mengambil atau memusnahkan tumbuhan di dalam taman negara atau mengeluarkan tumbuhan hidup mahupun mati dari kawasan taman negara.

SFC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti mengambil, mengumpul atau mengeluarkan sumber biologi dari kawasan Totally Protected Areas (TPAs) tanpa kebenaran kerana perbuatan itu boleh menjejaskan integriti biodiversiti serta usaha konservasi jangka panjang Sarawak.

Orang ramai dan pengunjung turut diingatkan bahawa semua flora, fauna serta sumber semula jadi dalam kawasan taman negara dilindungi dan tidak boleh diambil, dipindahkan atau dibawa keluar tanpa kelulusan sah.

SFC berkata rondaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh di semua kawasan taman negara dan rizab semulajadi bagi memastikan khazanah biodiversiti Sarawak terus terpelihara.

Bagaimanapun, memandangkan kes masih dalam siasatan, SFC tidak akan mengulas lanjut mengenai identiti individu, spesies tumbuhan yang terlibat atau aspek pembuktian lain yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Oleh Adi Safarman