BRASÍLIA, Brazil: UNESCO pada Isnin menambah Theatro da Paz dan Teatro Amazonas di Brazil ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia.
Kedua-dua bangunan yang masing-masing terletak di bandar Belém dan Manaus itu merupakan warisan daripada era ‘Zaman Keemasan’ wilayah Amazon, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan.
UNESCO berkata, kedua-dua teater itu memainkan peranan penting semasa ledakan industri getah di Amazon pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Tempoh yang berlangsung dari 1879 hingga 1912 itu membawa kemakmuran ekonomi yang luar biasa kepada Amazon, hutan hujan tropika terbesar di dunia.

Bagaimanapun, ahli sejarah menjelaskan bahawa ledakan tersebut turut menyaksikan amalan buruh paksa di rantau berkenaan, yang mengakibatkan kemerosotan besar populasi masyarakat Orang Asli Amazon.
“Kompleks ini dibina sebagai simbol cita-cita politik dan pembangunan bandar,” kata UNESCO ketika menyenaraikan bangunan yang diinspirasikan daripada seni bina Perancis itu sebagai Tapak Warisan Dunia.
Pengiktirafan UNESCO turut meliputi dataran awam yang terletak di hadapan kedua-dua teater, iaitu Praça da República dan Largo de São Sebastião.
“Theatro da Paz dan Praça da República memperlihatkan peranan strategik bandar Belém sebagai pelabuhan dan ibu negeri,” menurut UNESCO.
Sementara itu, Teatro Amazonas pula disifatkan sebagai sebahagian daripada pembangunan bandar berskala besar di Manaus ketika era ledakan industri getah. – AFP




