
LIMBANG: Isu ketiadaan bekalan air dan elektrik di Anjung Usahawan dan Tebingan Sungai Medamit yang berlarutan sejak dua tahun lalu telah dikemukakan kepada pihak dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata akan meneliti perkara itu secara serius serta mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah yang membelenggu penduduk kawasan tersebut.
“Saya akan arahkan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan projek ini untuk melihat keadaan sebenar di lapangan,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan kerja ke tapak Pusat Tingkatan Enam di SMK Limbang, sebentar tadi.
Sebelum ini, isu yang sama turut dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, yang menggesa Pejabat Residen dan Pejabat Daerah agar berhubung dengan agensi berkaitan bagi memastikan penyambungan bekalan elektrik dan air ke pusat perniagaan tersebut dapat dilaksanakan dengan segera.
Penduduk luar bandar di kawasan Medamit meluahkan rasa kecewa terhadap kelewatan penyelesaian isu ini, memandangkan Anjung Usahawan merupakan projek penting dalam memperkasa sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Ia menyediakan prasarana untuk aktiviti perniagaan serta memasarkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) penduduk pedalaman.
Oleh Adeng Edrus