
KUCHING: Dua rumah setingkat jenis kekal musnah dalam satu kejadian kebakaran di Buntal Seafood Centre, Jalan Kampung Buntal, di sini, petang ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.14 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dengan bantuan BBP Padungan digerakkan ke lokasi.
Menurut laporan, kebakaran melibatkan dua rumah konkrit.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat laporan ini disediakan, tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala operasi pemadaman masih dijalankan.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Shahrul Qaizat