
RUNTUHAN TANAH....Keadaan sekitar dua rumah panjang terjejas akibat hujan berterusan dan runtuhan tanah. Foto BBP Sarikei
SARIKEI: Dua rumah panjang di Sungai Anggie, Gerugu dan Nanga Bilak dua Sungai Bayong di sini terjejas disebabkan hujan berlarutan sejak 8.00 malam tadi hingga mengakibatkan runtuhan tanah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 10.50 pagi tadi dan bergegas ke lokasi.
“Difahamkan, pada lebih kurang 7.00 pagi tadi, telah berlaku runtuhan tanah dari bukit yang berada di belakang Rumah Antam Ali di Sungai Anggie, Gerugu.
“Setibanya di lokasi, didapati luas runtuhan tanah lebih kurang 200 meter persegi.
“Sebanyak 21 pintu rumah panjang tersebut yang didiami oleh 106 orang penduduk terjejas apabila air mengalir terus ke ruang dapur, bilik tidur, ruang tamu, dan ruai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, komander operasi membuat pemeriksaan dan mengarahkan anggota bomba membuat pemantauan bagi memastikan keadaan rumah panjang selamat diduduki.
“Pihak bomba mengambil maklumat penduduk yang terjejas dan menasihatkan penduduk sentiasa berwaspada sekiranya hujan masih berterusan.
“Tiada pemindahan dilakukan memandangkan rumah penduduk masih boleh diduduki di tingkat atas,” katanya.
Di lokasi kedua iaitu di Rumah Stie Ubong di Nanga Bilak 2, Sungai Bayong, katanya, jalan masuk telah ditenggelami oleh air lebih kurang satu meter.
“Pasukan bomba terpaksa berjalan kaki dan menumpang kenderaan yang dimiliki oleh penduduk untuk ke rumah panjang tersebut sejauh lima kilometer.
“Difahamkan, runtuhan tanah dari bukit berhampiran berlaku lebih kurang 12.00 tengah malam dan air dari bukit mengalir terus ke ruai.
“Luas runtuhan lebih kurang 50 meter persegi dan menjejaskan lima pintu. Tiga pintu rumah diami oleh 14 orang penduduk, manakala dua pintu rumah tiada penghuni,” katanya.
Katanya lagi, pasukan bomba mengambil maklumat penduduk yang terjejas dan penduduk dinasihatkan sentiasa berwaspada sekiranya hujan masih berterusan.
“Tiada pemindahan dilakukan memandangkan rumah penduduk masih boleh diduduki,” katanya.
Oleh Earl Anek