
BINTANGOR: Dua projek di bawah inisiatif Projek Mesra Rakyat (PMR) 2024 di daerah Meradong telah memulakan langkah awal melalui sesi penyerahan tapak bagi kerja-kerja naik taraf kemudahan tempat letak kenderaan di dua rumah panjang.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, berkata kedua-dua projek tersebut melibatkan Rumah Lampong Seruji di Batu 4, Jalan KJD dan Rumah Badi Rebeng di Sungai Lemayong.
“Projek ini bertujuan menambah baik kemudahan asas, khususnya dari segi akses dan keselamatan parkir kenderaan, sekali gus meningkatkan keselesaan penduduk setempat.
“Inisiatif sebegini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa dan selamat memberikan impak besar kepada rutin harian penduduk, terutama dalam urusan harian dan keselamatan.
“Saya berharap pelaksanaan projek ini berjalan lancar dan memberi manfaat maksimum kepada komuniti terlibat.
“Kita akan terus berusaha membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan Sarikei dan Meradong demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Sesi penyerahan tapak bagi kedua-dua projek telah diadakan baru-baru ini dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, dan turut disaksikan oleh Wong Soon Mee yang mewakili Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Oleh Earl Anek