KUALA LUMPUR: Permohonan Fulbright Exchange Grant 2021-2022, untuk warga pendidik dan profesional yang layak kini dibuka, kata Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia dalam satu kenyataan.
Tarikh akhir permohonan untuk – The Hubert H. Humphrey Fellowship dan Fulbright Foreign Language Teaching Assistant (FLTA) – pada 17 Ogos dan 4 September.
Program biasiswa Hubert H. Humphrey menyediakan profesional muda dan pertengahan kerjaya yang berpengalaman, untuk mengikuti pengajian selama setahun, meningkatkan kemahiran kepemimpinan dan kerjasama profesional dengan rakan dari Amerika Syarikat.
Biasiswa itu merangkumi aktiviti meningkatkan kemahiran profesional seperti lawatan, persidangan dan program latihan, katanya.
Maklumat lanjut di https://www.macee.org.my/2020-2021hubert-h-humphrey-fellowship/
Sementara itu, program FLTA memberi peluang untuk pendidik ke Amerika Syarikat bermula musim panas 2021 untuk membantu pengajaran bahasa dan budaya asing kepada pelajar Amerika sehingga 20 jam seminggu.
Program FLTA merangkumi peluang mengikuti dua kursus peringkat universiti dan menghadiri persidangan pertengahan tahun pada Disember.
Maklumat lanjut mengenainya boleh didapati di https://www.macee.org.my/2021-2022flta/
Program Fulbright, diwujudkan di AS pada 1946, bertujuan memperkukuh persefahaman dan komunikasi antara AS dan negara-negara lain dengan membiayai pelbagai pertukaran pendidikan.
Dibiayai Jabatan Negara AS, program di sini dikendalikan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Amerika-Malaysia (MACEE) dengan kerjasama Kedutaan AS.– Bernama