KUCHING: Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) berkolaborasi dengan Persatuan Kuching Love Book dan FOCY bagi menganjurkan dua program derma darah pada 28 dan 29 Disember ini.
Tabung darah HUS menerusi satu kenyataan berkata program itu masing-masing diadakan di pusat beli-belah Plaza Merdeka dan pusat beli-belah Boulevard (berhadapan Daiso).
Program derma darah di Plaza Merdeka dijadualkan bermula 10.00 pagi hingga 3.00 petang manakala di Boulevard bermula 9.00 pagi hingga 2.00 petang.
Tabung darah HUS menerusi satu hantaran Facebook memberitahu pihaknya menyasarkan sebanyak 80 beg darah di Plaza Merdeka manakala 150 beg darah di Boulevard.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menderma darah diingatkan untuk membawa kad pengenalan dan buku pendermaan (jika ada) dan makan sebelum menderma serta mendapat tidur yang cukup sekurang-kurangnya lima jam.