MIRI: Dua maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Pan Borneo Bukit Song di sini, malam ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.28 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan kenderaan Perodua Kancil dan treler.
“Terdapat dua mangsa yang masih tersepit di dalam kenderaan Perodua Kancil.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menggunakan peralatan khas keselamatan untuk mengeluarkan mangsa sehingga berjaya,” katanya.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Patrick Guya,48, dan Roslind Layun Pad,61 yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM.