
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya dua maut di utara Texas, Amerika Syarikat (AS), selepas ribut kuat melanda kawasan itu, menurut pihak berkuasa pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengesahkan sekurang-kurangnya dua tornado melanda pada Sabtu malam, ketika ribut membadai daerah Wise dan Parker, menyebabkan kemusnahan besar serta memaksa puluhan keluarga berpindah.
Di kawasan Runaway Bay di Daerah Wise, seorang maut, beberapa orang lagi cedera dan sekurang-kurangnya 20 keluarga terpaksa meninggalkan kediaman mereka susulan kerosakan struktur meluas di beberapa kejiranan, menurut laporan CBS News pada Ahad.
Di Daerah Parker yang berhampiran, seorang lagi maut selepas angin kencang jenis aliran menurun bahagian sisi ribut melanda kawasan selatan Springtown, menurut pihak berkuasa.
Menurut Pejabat Syerif Daerah Parker, seorang wanita menghubungi talian kecemasan 911 pada Sabtu selepas menemui ahli keluarganya dalam runtuhan rumah yang rosak akibat ribut di Jalan Hutchenson Hill. Pasukan kecemasan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian seorang wanita berusia 69 tahun. Identitinya masih belum didedahkan. – Bernama