

BATU NIAH: Dua lelaki terselamat dalam satu kemalangan kendiri membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Manong menuju ke Simpang Ngu, di sini petang ini.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.26 petang sebelum jentera bergegas ke lokasi yang terletak sekitar enam kilometer dari balai dan tiba pada 2.32 petang.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat dua mangsa lelaki dewasa di dalam kenderaan tersebut, seorang masih tersepit manakala seorang lagi tidak tersepit.
Komander Operasi, PBK I Jeffry Majin, memaklumkan operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas RTA (Road Traffic Accident) untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Kedua-dua mangsa berumur 42 dan 53 tahun berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar. Seorang daripada mereka mengalami kecederaan di kaki kanan, manakala seorang lagi dilaporkan selamat tanpa kecederaan serius.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa oleh keluarga mereka ke Klinik Batu Niah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi dikawal sepenuhnya pada 2.40 petang dan tamat pada 3.00 petang setelah keadaan disahkan selamat.
Seramai enam anggota bomba bersama sebuah jentera FRT terlibat dalam operasi berkenaan. Tiada agensi lain dilaporkan berada di lokasi semasa operasi dijalankan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggesa orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, khususnya di laluan berbukit dan berselekoh tajam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Adum Liu