
TATAU: Dua lelaki maut manakala empat lagi mengalami gejala keracunan selepas memakan umbut rotan di sebuah pondok kebun di Sungai Salik, Mayeng Kakus di sini.
Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis berkata, kejadian berlaku sekitar 7.30 malam ketika kesemua tujuh individu terbabit sedang menikmati hidangan yang dimasak menggunakan umbut rotan yang diperoleh dari kawasan kebun tersebut.
Menurutnya, kira-kira sejam selepas makan, kesemua mereka mula mengalami simptom keracunan seperti sakit perut dan muntah sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Tatau dengan bantuan penduduk kampung.
“Dua mangsa lelaki berusia 31 dan 58 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirujuk ke klinik, manakala tiga lagi berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan.
Seorang lagi mangsa berusia 30 tahun dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Nyabau, Bintulu untuk rawatan lanjut.
Siasatan awal mendapati semua mangsa disyaki mengalami keracunan makanan selepas memakan umbut rotan dipercayai daripada spesies ‘Calamus castaneus’ yang mempunyai kandungan toksik tinggi dan tidak selamat untuk dimakan.
Pemeriksaan fizikal ke atas kedua-dua mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Nyabau untuk proses bedah siasat.
Orang ramai dinasihati agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian dan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Rafiziezuan Mohd. Yakop bagi mendapatkan maklumat sahih.