SIBU: Calon muka baharu yang hendak bertanding harus mempunyai dua kriteria iaitu kebolehan dan diterima masyarakat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kriteria ini juga diamalkan oleh pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selama ini.
“Tidak bolehlah jika terus bertanding, kami dahulu pun begitu kerana kita perlu memenuhi kriteria yang diperlukan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Sayap Belia PBB di sini, petang ini.
Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata dalam setiap pilihan raya, mesti ada kombinasi sekurang-kurangnya 30 peratus muka baharu.
“Jika dua kriteria ini dapat dipenuhi tidak kira latar belakang, di mana tempat, kalau masyarakat menerima mengapa tidak kita letakkan mereka (sebagai calon).
“Muka baharu, muka lama dan lama kelamaan mereka dalam satu perahu yang sudah kita latih.
“Maklumlah, kita muda ini kadangkala laju. Kalau perahu laju, dia tak tahu depan itu ada kayu boleh melompat. Jadi waktu muda ini walaupun laju biarlah laju dengan cara yang betul,” katanya.
Abang Johari berkata, hari ini adalah bersejarah dimana pimpinan PBB menerima para belia dan berharap program ini seperti ‘internship’ dalam sebuah badan koporat.
“Intership ini mereka sebenarnya belajar dan dapat meneruskan sumbangan ke arah pembangunan pada masa depan,” katanya.
Turut hadir ialah dua Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dua Naib Presiden Kanan PBB iaitu Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Stephen Rundi Utom, Naib Presiden PBB Datuk Dr Annuar Rapaee.
Hadir sama ialah Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah; Ketua Pergerakan Pemuda PBB, Miro Simuh dan Pengerusi pengelola majlis Pelancaran Pergerakan Belia PBB Muhammad Nur Shafiq.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING