
WASHINGTON: Sebuah kapal perang Amerika Syarikat (AS) dan sebuah kapal bekalan Tentera Laut berlanggar di perairan Caribbean pada Rabu semasa proses pengisian bahan api antara kapal, menyebabkan dua mengalami kecederaan ringan, lapor The Wall Street Journal (WSJ) semalam, memetik Jurucakap Markas Selatan AS, Kolonel Emmanuel Ortiz, menurut agensi berita Sputnik/RIA Novosti.
Kapal yang terlibat ialah kapal pembinasa kelas Arleigh Burke, USS Truxtun dan kapal sokongan tempur pantas kelas Supply, USNS Supply.
Anggota yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala kedua-dua kapal masih boleh meneruskan pelayaran dengan selamat, kata Ortiz sambil menambah bahawa punca perlanggaran dan lokasi tepat kejadian masih belum dipastikan. Insiden itu kini masih dalam siasatan.
Seorang pegawai tentera memberitahu WSJ bahawa perlanggaran itu berlaku di kawasan tanggungjawab Markas Selatan (SOUTHCOM), di tengah-tengah pengerahan besar-besaran aset tentera laut di wilayah itu oleh Presiden AS Donald Trump dalam beberapa bulan kebelakangan ini sebagai sebahagian daripada kempen menentang penyeludup dadah.
Terdapat 12 kapal perang di bawah SOUTHCOM AS pada masa ini, termasuk kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford serta kumpulan tempurnya, menurut laporan itu. -Bernama