
MADRID: Dua peserta cedera parah akibat ditanduk lembu jantan dalam larian terakhir Festival San Fermín tahun ini di bandar Pamplona, utara Sepanyol pada Selasa, manakala keseluruhan 10 peserta cedera, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik penganjur.
Seorang lelaki berusia 18 tahun ditanduk pada bahagian paha, manakala seorang lagi berusia 46 tahun mengalami kecederaan parah pada dada selepas dirempuh seekor lembu jantan laga yang boleh mencecah berat sehingga 600 kilogram.
Turut cedera seorang lelaki warga Britain berusia 86 tahun yang mengalami kecederaan pada tangan kanan, kening kiri dan siku kiri.
Walaupun kecederaan akibat tandukan lembu jantan agak jarang berlaku di Pamplona, insiden seumpama itu tetap berlaku setiap tahun. Lebih 70 peserta cedera sepanjang lapan larian lembu jantan tahun ini, namun hanya lima daripadanya mengalami kecederaan akibat tandukan.
Menurut penganjur, kesemua 10 peserta yang cedera dalam larian pada Selasa ialah lelaki berusia antara 18 hingga 86 tahun. Kebanyakan mereka ialah warga Sepanyol. Mereka dibawa ke hospital akibat kecederaan termasuk lebam, kecederaan rempuhan, luka dan patah tulang.
Festival San Fermin yang bermula pada 6 Julai itu diadakan bagi menghormati santo penaung bandar berkenaan. Setiap pagi, enam ekor lembu jantan laga dilepaskan melalui jalan-jalan sempit di bandar lama Pamplona sebelum acara laga lembu pada sebelah petang.-Bernama-dpa




