
KUCHING: Dua lelaki cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan di kawasan Politeknik Kuching, Jalan Matang, di sini, tengah hari tadi.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 1.27 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Mohd Nizam Bujang berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah pacuan empat roda, Perodua Myvi dan Perodua Kancil.

“Dua mangsa yang cedera masing-masing berusia 20 tahun, iaitu penumpang dan pemandu Perodua Myvi. Kedua-duanya mengalami kecederaan, namun tidak tersepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, dua lagi individu masing-masing berusia 20 dan 21 tahun, iaitu pemandu pacuan empat roda serta pemandu Perodua Kancil dilaporkan selamat.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
Selain itu, anggota turut menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Operasi yang melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT itu ditamatkan setelah keadaan disahkan selamat.
Oleh Norman B