SPAOH: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dr. Richard Rapu merupakan calon paling tepat dipilih bagi memberikan khidmat kepada rakyat di kawasan Parlimen Betong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, calon muka baharu itu juga individu berkelayakan kerana telah berkhidmat dengannya di Parlimen Betong dan kemudiannya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban selama tempoh 14 tahun.
“Beliau mula menyertai saya semasa saya menjadi menteri persekutuan, selaku Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri sejak 2008, selama lapan tahun.
“Pada 2016 apabila saya kembali berkhidmat dalam kabinet negeri, beliau juga turut menyertai saya sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sehingga sekarang.
“Beliau telah menempuh perjalanan yang panjang. Oleh itu, beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam situasi luar bandar di Betong, jangkaan dan kesusahan rakyatnya,” katanya semasa mengadakan taklimat Pilihan Raya Umum PRU ke-15 (PRU15) kepada 11 cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dekat sini, hari ini.
Turut hadir ialah bekas Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat yang mengambil keputusan untuk berundur kerana memberi laluan kepada calon muka baharu untuk mempertahankan kawasan terbabit.
Uggah juga berkata Robert Lawson memaklumkan keputusannya untuk berhenti daripada arena politik kepada beliau dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu enam bulan lalu.
“Jadi kami mengadakan perbincangan dan daripada pemerhatian kami, Dr Richard adalah calon terbaik untuk mengambil alih. Premier Sarawak, Datuk Patnggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga bersetuju.
“Jadi kami berharap semua pengundi Betong, termasuk Undi18 dan pengundi baharu akan memberikan sokongan penuh kepada Dr. Richard sebagai calon GPS dan mengekalkan kerusi Parlimen Betong sebagai kubu kuat GPS,” katanya.
Mengenai pilihan raya akan datang, Uggah yang juga Pengarah Pilihan Raya GPS meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan mereka yang menggunakan sentimen sensitif bertindak bagi memenangi undi mereka.
Oleh ADI SAFARMAN