Patrick Dorgu meraikan jaringan sulungnya bersama Manchester United ketika membantu pasukan menewaskan Newcastle 1-0 di Old Trafford. Foto AFP
MANCHESTER: Gol sulung Patrick Dorgu menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 buat Manchester United ke atas Newcastle, sekali gus melonjakkan Red Devils ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris.
Beraksi tanpa kapten Bruno Fernandes serta beberapa tonggak lain, United tetap tampil kental apabila Dorgu meledak jaringan pada minit ke-24 hasil voli kaki kiri selepas hantaran lintang Diogo Dalot.
Newcastle menguasai separuh masa kedua namun gagal memecah kebuntuan, sekali gus meneruskan rekod buruk aksi di tempat lawan.
Kemenangan pertama di Old Trafford selepas dua bulan itu menyaksikan United kini terikat mata dengan Chelsea di tempat keempat, manakala Newcastle kekal di tangga ke-11. – AFP