
LISBON: Pasukan penyelidik antarabangsa menemui DNA manusia berusia sekurang-kurangnya 2,000 tahun di dinding gua di Portugal dan Sepanyol, memberikan bukti pertama bahawa dinding gua boleh memelihara bahan genetik manusia selama ribuan tahun, lapor Xinhua.
Menurut laporan oleh Agensi Berita Lusa pada Khamis, menggunakan teknik pengekstrakan dan penjujukan DNA lanjutan, para penyelidik mengesan DNA manusia purba dalam kerak kalsit berpigmen dari Gua Escoural di Portugal, serta dalam beberapa sampel dinding gua yang tidak berpigmen dari Gua Escoural dan Gua Covaron di Sepanyol.
Penyelidik berkata pada masa hadapan, analisis DNA yang dipelihara pada dinding gua boleh membantu mendedahkan jantina biologi, keturunan genetik dan pergerakan orang yang pernah memasuki gua, tanpa mengganggu deposit arkeologi.
Pasukan itu memberitahu media, dinding gua boleh berfungsi sebagai arkib biologi aktiviti manusia prasejarah, menawarkan pendekatan baharu untuk memahami cara orang prasejarah menggunakan gua dan untuk menyiasat identiti pencipta beberapa seni gua. – Bernama-Xinhua