

SIBU: Seorang lelaki dikenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan setelah mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barang curi.
Lary Inggong, 36, bagaimanapun terpaksa menjalani hukuman penjara tiga bulan setelah gagal membayar denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, dia dituduh memiliki barang curi iaitu kipas berdiri jenama Midea dan Peti Sejuk Mini Akira di sebuah rumah di Taman Kristal, Sibu Jaya pada 24 Mac 2025, sekitar 10.05 pagi.
Tertuduh telah melakukan kesalahan yang dihukum mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 3 Februari lepas, jam lebih kurang 4.00 petang, semasa pengadu sedang membersihkan parit di belakang rumah dan apabila memandang ke rumah anaknya yang terletak bertentangan, pengadu mendapati motosikal milik anaknya telah hilang.
Pengadu kemudian membuat pemeriksaan di rumah anaknya dan mendapati mangga pagar rumah dan pintu depan telah dipotong.
Pemeriksaan lanjut mendapati satu kipas berdiri, satu televisyen, satu peti sejuk mini, satu silinder gas, dua enjin sangkut, satu pembesar suara mudah alih dan sebuah motosikal telah hilang, dengan kerugian dianggarkan RM24,200.
Semalam, sekitar 10.31 pagi, pihak polis telah menahan seorang lelaki di Jalan Sentral, yang membawa kepada penemuan barang curi iaitu satu kipas berdiri jenama Midea dan Peti Sejuk Mini Akira.
OLEH AKUN GIMAN