
BEIJING: Sepuluh peserta Maraton Suzhou 2025 digantung daripada semua perlumbaan jalan raya yang diiktiraf oleh Persatuan Olahraga China (CAA) selama tiga tahun kerana ‘tingkah laku tidak bertamadun’ semasa acara itu, lapor Xinhua.
CAA mengumumkan tindakan disiplin itu pada Khamis, memetik insiden membuang air kecil di tempat awam berhampiran sebuah sekolah tempatan semasa perlumbaan pada 2 Mac. Penggantungan itu akan berkuat kuasa sehingga 1 Mac 2028.
Selain penggantungan itu, CAA berkata ia akan menarik balik kelayakan Maraton Suzhou 2026 untuk pensijilan rasmi, satu langkah yang menghalang perlumbaan itu daripada muncul dalam kalendar acara yang diiktiraf persatuan berkenaan.
Persatuan menggesa pelari dan penganjur acara untuk menegakkan peraturan perlumbaan dan melindungi integriti sukan itu. “Kami berharap semua peserta dan pihak yang berkaitan mengambilnya sebagai amaran dan bekerjasama untuk mengekalkan persekitaran perlumbaan yang adil, teratur dan dihormati,” kata CAA dalam kenyataannya.
Tindakan disiplin itu menyusul selepas laporan dalam talian dan rakaman video yang tersebar luas di media sosial China yang menunjukkan beberapa pelari membuang air kecil di tempat awam, mencetuskan kecaman daripada netizen. – Bernama