Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Diaspora juara kepelbagaian di pentas Piala Dunia
  • SUKAN

Diaspora juara kepelbagaian di pentas Piala Dunia

Utusan Sarawak 4 hours ago
YASIN Ayari tidak meraikan golnya ketika menentang Tunisia sebagai tanda hormat terhadap negara asal bapanya. — Foto AFP

ATLANTA: Piala Dunia 2026 bukan sekadar medan persaingan bola sepak, malah menjadi simbol perpaduan dan kepelbagaian apabila ramai pemain mewakili negara yang berbeza daripada tempat kelahiran mereka.

Pemain tengah Sweden, Yasin Ayari, memilih untuk tidak meraikan gol sulungnya di Piala Dunia ketika menentang Tunisia kerana menghormati negara asal bapanya.

“Saya sayangkan Tunisia, sebab itu saya tidak meraikan gol tersebut,” kata Ayari yang turut layak mewakili Maghribi menerusi ibunya.

Fenomena pemain berdarah campuran atau mempunyai dua kerakyatan semakin penting dalam bola sepak moden. Hampir satu perempat daripada 1,248 pemain yang beraksi di Piala Dunia 2026 mewakili negara selain tempat mereka dilahirkan.

Maghribi, yang mencipta sejarah sebagai negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia pada 2022, terus bergantung kepada pemain diaspora. Dalam aksi pembukaan menentang Brazil, mereka menjadi pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia menurunkan kesebelasan utama yang kesemuanya lahir di luar negara.

NESTORY Irankunda dilahirkan di kem pelarian sebelum menjadi bintang Australia di Piala Dunia. — Foto AFP

Curacao pula mencipta kisah dongeng dengan sebahagian besar skuadnya dilahirkan di Belanda. Daripada 26 pemain, 25 dilahirkan di negara Eropah itu dan dibimbing bekas jurulatih Belanda, Dick Advocaat.

“Kami memiliki jiwa tanah air sendiri dan pada masa sama mendapat manfaat daripada sistem pembangunan bola sepak Belanda. Ia gabungan yang baik,” kata penyerang Jurgen Locadia.

Piala Dunia kali ini turut menyaksikan beberapa adik-beradik mewakili negara berbeza. Penyerang Perancis, Desire Doue, beraksi bersama Les Bleus manakala abangnya, Guela Doue, menyarung jersi Ivory Coast.

John dan Harry Souttar pula masing-masing mewakili Scotland dan Australia, sementara Nico Williams memilih Sepanyol, manakala abangnya Inaki Williams beraksi bersama Ghana.

Kisah pemain pertahanan Cape Verde, Roberto ‘Pico’ Lopes, turut mencuri perhatian. Dilahirkan di Dublin hasil perkahwinan ibu Ireland dan bapa Cape Verde, beliau direkrut menerusi LinkedIn selepas pada mulanya mengabaikan mesej jurulatih kerana ditulis dalam bahasa Portugis.

MICHAEL Olise memilih mewakili Perancis walaupun layak beraksi untuk England, Algeria dan Nigeria. — Foto AFP

Sementara itu, pemain Australia, Nestory Irankunda, dilahirkan di kem pelarian di Tanzania selepas ibu bapanya melarikan diri daripada perang saudara di Burundi sebelum berhijrah ke Perth ketika beliau masih bayi.

Di sebalik kisah perpaduan itu, Piala Dunia kali ini turut dibayangi isu sekatan perjalanan apabila pengadil Somalia, Omar Artan, dilaporkan gagal memasuki Amerika Syarikat, manakala Haiti, Iran, Ivory Coast dan Senegal berdepan sekatan visa.

Peraturan FIFA yang lebih fleksibel kini membenarkan pemain bawah 21 tahun menukar pasukan kebangsaan jika mereka mempunyai tiga penampilan senior atau kurang dan belum beraksi dalam kejohanan utama.

Antara contoh terkenal ialah Declan Rice yang pernah mewakili Republik Ireland sebelum memilih England, manakala Jamal Musiala yang membesar di England akhirnya menyertai Jerman.

Bintang Bayern Munich, Michael Olise, yang dilahirkan di London dan mempunyai darah Nigeria, Algeria serta England, akhirnya memilih Perancis.

“Saya datang daripada empat negara iaitu Perancis, Algeria, Nigeria dan England. Saya sangat bertuah kerana semua identiti ini memperkayakan diri saya,” katanya.

Pilihan Olise untuk menyarung jersi Perancis mungkin menjadi antara faktor penting dalam menentukan siapa bakal menjulang trofi Piala Dunia kali ini. — AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Alvarez beri isyarat sedia cari cabaran baharu selepas Piala Dunia
Next: Selepas tiga kegagalan Piala Dunia, Itali pertimbang jurulatih asing

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.