“Dia bagus, tapi Sarawak lagi bagus” – Allexandre Axcell

Facebook
WhatsApp
ALLEXANDRE Axcell Juntan bersama meraikan kemenangannya bersama ibu bapanya.

SHAH ALAM: “Dia bagus, tapi Sarawak lagi bagus.”

Itu keyakinan atlet taekwondo Sarawak, Allexandre Axcell Juntan selepas menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Thiban Raj Nagalingam, 2-1 dalam aksi final kyorugi lelaki bawah 63 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.

Lebih manis, kemenangan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam itu menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Bumi Kenyalang pada temasya kali ini.

Allexandre, 19, berkata beliau tidak melihat kelebihan besar pada lawannya dan yakin mampu mengatasi cabaran Thiban menerusi perubahan strategi yang dirancang bersama jurulatih.

“Kalau ditanya apa kelebihan lawan, tak ada sangat. Dia bagus tetapi Sarawak lagi bagus.

“Saya dapat atasi kelebihannya dengan menukar strategi seperti yang diarahkan jurulatih,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.

Menurutnya, jurulatih mengarahkannya menukar corak permainan daripada bahagian terbuka kepada bahagian tertutup bagi mengelakkan lawan mengambil kesempatan untuk menyerang dari belakang.

“Jurulatih suruh tukar strategi. Kalau saya main bahagian terbuka dengan dia, dia akan cuba menyerang dari belakang.

“Jadi bila disuruh tukar, saya main bahagian tertutup. Kalau dia cuba menyerang dari belakang, saya melompat masuk dan sepak balik,” katanya.

Strategi itu ternyata membuahkan hasil apabila Allexandre berjaya mengekalkan kelebihan sebelum mengesahkan kemenangan 2-1 untuk bergelar juara.

Allexandre berkata, beliau sememangnya meletakkan sasaran emas sebelum berangkat ke Sukma kali ini selepas menjalani latihan keras sebagai persiapan menghadapi temasya.

“Saya jangka sebab latihan saya sangat keras. Saya fikir saya dapat bawa balik pingat emas kalau saya yakin.

“Saya sangat gembira kerana dapat menukar warna pingat daripada gangsa pada 2024 kepada emas kali ini. Latihan sangat keras dan penat kerana saya mahu bawa balik pingat emas untuk Sarawak,” katanya.

Lebih istimewa, Allexandre yang sebelum ini meraih gangsa pada Sukma 2024 tidak menyedari bahawa dirinya menjadi atlet Sarawak pertama yang menghadiahkan emas pada edisi kali ini.

“Puji Tuhan. Perasaan sangat-sangat gembira kerana menjadi orang pertama membawa balik pingat emas untuk Sarawak,” katanya.

Allexandre turut mendedahkan persiapannya kali ini termasuk menjalani latihan selama enam bulan di Thailand bersama sebuah kelab bagi meningkatkan tahap prestasinya.

Berasal dari Sungai Asap, Allexandre turut menitipkan pesanan kepada generasi muda di tempat kelahirannya supaya terus berusaha mengejar impian.

“Usaha tidak mengkhianati hasil,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Juntan Mujap, berkata kejayaan Allexandre adalah hasil kerja keras yang dilalui anaknya sejak mula menceburi taekwondo pada usia sembilan tahun.

Katanya, Allexandre pernah berdepan rasa gementar pada peringkat awal pertandingan sebelum keyakinannya meningkat selepas memenangi aksi pertama.

“Pada mulanya dia memang rasa gementar. Lepas pertandingan pertama dia menang, barulah dia rasa yakin,” katanya.

Menariknya, minat terhadap taekwondo turut diteruskan adiknya yang kini berusia 15 tahun dan sedang dibentuk sebagai pelapis.

“Bangga. Sangat bangga,” katanya ketika ditanya mengenai kejayaan anaknya.

Kejayaan Allexandre menjadi emas pertama Sarawak pada Sukma Selangor 2026, sekali gus membuka akaun emas kontinjen Bumi Kenyalang pada temasya kali ini.

Oleh Shahrul Qaizat

Zulhafiz sambar emas kedua Sarawak

SHAH ALAM: Tiga perlawanan, tiga kemenangan 2-0, itulah perjalanan sempurna Mohamad Zulhafiz Zulhadi dalam misi menghadiahkan emas kedua buat Sarawak

Zulhafiz sambar emas kedua Sarawak

SHAH ALAM: Tiga perlawanan, tiga kemenangan 2-0, itulah perjalanan sempurna Mohamad Zulhafiz Zulhadi dalam misi menghadiahkan emas kedua buat Sarawak