BAKELALAN: Kerjasama erat antara kerajaan pusat di bawah Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan suara rakyat pedalaman diberi keutamaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato Henry Sum Agong berkata banyak projek untuk Parlimen Lawas dan Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan telah diketepikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan menjadi kerajaan pusat.
Namun demikian selepas PN memerintah, semua projek itu dihidupkan semula melalui peruntukan yang diluluskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, katanya.
Beliau yang mengadakan lawatan kerja ke Kampung Puneng Berayong Ba’kelalan Sabtu lalu memberitahu jalan masuk ke Kampung Puneng Berayong dari jalan utama Ba’kelalan akan dibina dengan kos RM500,000.
Ahli Parlimen Lawas itu juga memberitahu, beliau telah berjumpa dengan beberapa rakan menteri PN untuk mendapatkan peruntukan bagi tujuan pembangunan di kawasan Ba’kelalan khususnya kemudahan asas yang masih jauh ketinggalan.
Pada majlis berkenaan beliau mengumumkan peruntukan RM20,000 untuk melengkapkan Dewan Masyarakat Kampung Puneng Berayong.
Malah gelanggang futsal bernilai RM150,000 juga siap dibina di bawah kerajaan BN dan kini PN.
Walaupun baru tiga bulan membentuk kerajaan di peringkat pusat, katanya, banyak projek telah dapat dibawa semula ke Sarawak selepas diketepikan oleh kerajaan PH.
Kerajaan PN, jelasnya lebih fokus kepada membela rakyat dan bukannya membuang terlalu banyak masa dan tenaga untuk berpolitik sepanjang masa.
Hakikatnya semasa arahan perintah kawalan pergerakan Covid-19 lalu, menyaksikan banyak bantuan disalurkan melalui program perihatin nasional dan Bantuan Sarawakku Sayang di peringkat kerajaan Sarawak yang diterajui GPS.
Henry Sum yakin, penduduk kawasan Ba’kelalan semakin matang dalam memahami politik penuh muslihat PH berbanding perjuangan sebenar di bawah PN.
Hadir sama Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, wakil Residen Bahagian Limbang, Cherlynna Leeza Roland, Pegawai Pertanian Daerah Lawas, Doroup Mail dan Pegawai KPLB Putrajaya, Maswan Manan.
Oleh Adeng Edrus