KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023 yang diluluskan Dewan Negara semalam menandakan satu langkah penting dalam memastikan perwakilan yang adil dan mengekalkan hak Sarawak dan Sabah dalam persekutuan Malaysia.
Senator Negara, Dato’ Ahmad Dato Sri Ibrahim berkata, pindaan ini memperkenalkan perwakilan tetap dari Sarawak dan Sabah dalam LHDN, mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk menyelaraskan dan mengembalikan hak yang sedia ada kepada negeri-negeri ini.
“Pelaksanaan undang-undang perwakilan ini sejajar dengan peruntukan yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dimana diperuntukan berhubung percukaian seperti terkandung dalam 24(1) Peruntukan Kewangan dalam laporan IGC.
“Penyertaan wakil-wakil dari Sarawak dan Sabah bukan sahaja akan meningkatkan kredibiliti dan ketelusan LHDN, malah berfungsi sebagai semak dan imbangan, memastikan dasar percukaian yang adil dan seimbang.
“Langkah ini akan menumbuhkan kepercayaan yang lebih besar di kalangan semua rakyat Malaysia terhadap LHDN.
“Dalam pada itu, pindaan ini meluaskan kuasa pelaburan LHDN untuk merangkumi institusi kewangan Islam, agensi pembangunan dan koperasi.
“Pelbagaian ini memperkuat kedudukan kewangan LHDN dan selari dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mempromosikan kewangan Islam dan menyokong sektor pembangunan,” kata beliau.
Jelas beliau, pindaan RUU ini adalah bukti komitmen teguh Kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan semangat dan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau lagi, pindaan ini membuka jalan untuk Malaysia yang lebih inklusif, adil dan sejahtera bagi semua.