
PETRA JAYA: Hari pertama Minggu Permotoran Kuching 2025 (CCBW 2025) edisi kedua bermula dengan suasana santai dan sederhana di parkir Stadium Negeri Sarawak hari ini, namun tetap meriah dengan kehadiran awal para penunggang motosikal dari dalam dan luar negara.
Walaupun acara rasmi hanya akan berlangsung secara besar-besaran esok, suasana pagi tadi sudah dimeriahkan dengan deruman enjin motosikal klasik, pertunjukan santai kelab-kelab motor tempatan serta pertemuan mesra antara komuniti permotoran yang sudah lama tidak berjumpa.

Beberapa gerai makanan, pameran aksesori motosikal dan ruang interaksi turut mula beroperasi secara berperingkat, memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman awal sebelum acara kemuncak bermula.
Vendor yang menyertai CCBW 2025 ialah 3 Saudara, Khalik Zaki Dan Rakan-Rakan, LED, Ghee Hua Yamaha, Petronas Lubricant Marketing Malaysia, Ghee Hua Moto, Motolube, Sam Ali, Philip Morris dan Nurul.
Maliki Ahmad, salah seorang peserta CCBW 2025 berkata suasana hari pertama memberi peluang kepada semua untuk menyesuaikan diri dan berkenalan dengan peserta lain.

“Suasana tenang hari ini sangat sesuai untuk pembukaan hari ini. Kita tak perlu tergesa-gesa, boleh lepak, kenal peserta dari Sabah, Indonesia dan tempat lain,” katanya.
Pengerusi CCBW 2025, Abang Nor Nasaruddin berkata, hari pertama sengaja dimulakan dengan suasana santai untuk memberi ruang kepada peserta yang baharu tiba, serta memastikan persiapan logistik dan keselamatan berjalan lancar.
Acara kemuncak termasuk Ratu Cilik CCBW 2025, upacara penyampaian momento, konvoi ‘Rolling Thunder’, persembahan stunt Zul Olen, cabutan bertuah utama dan konsert CCBW 2025 dengan jangkaan ribuan pengunjung membanjiri kawasan sekitar parkir Stadium Negeri Sarawak.
Oleh Norman B